Bashar Al Assad tolak rundingan damai, dakwa pembangkang
Astro Awani
Disember 5, 2017 05:52 MYT
Disember 5, 2017 05:52 MYT
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa membuka mata kepada tindak-tanduk pentadbiran Presiden Syria Bashar Al-Assad yang didakwa tidak menghormati pelan damai yang sedang dirintis badan dunia itu.
Pembangkang Syria mendakwa Bashar jelas menolak pelan damai PBB dengan tidak hadir pada pertemuan yang dirancang di Geneva pada Selasa.
Jurucakap pembangkang Syria, Nasr Hariri berkata, delegasi pembangkang yang hadir di Geneva adalah bagi menghormati resolusi damai oleh Majlis Keselamatan PBB, Resolusi 2254 dan 2118.
"Kami di sini untuk melaksanakan Geneva Communique (Resolusi) 2254 dan 2118.
"Dan anda tahu bahawa rundingan hanya berlaku apabila adanya perbincangan dua pihak, pembangkang dan rejim Bashar.
"Kami datang ke Geneva dengan satu delegasi, dengan satu pandangan politik. Dan kami berada di sini, seperti yang saya sebutkan, untuk melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan.
"Kami tidak membuat resolusi ini," jelasnya selepas pertemuan dengan Wakil Khas PBB ke Syria, Staffan De Mistura, di Geneva pada Selasa.
Nasr dalam pertemuan itu turut menggesa De Mistura agar mewar-warkan kepada dunia tentang apa yang berlaku di Geneva pada hari tersebut.
"Jadi, kini ia menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa. Ia adalah tanggungjawab PBB, dan utusan khas de Mistura, untuk mengumumkan kepada dunia bahawa pentadbiran Bashar yang menolak rundingan.
"Kami berada di sini dan kami akan terus mencapai satu penyelesaian politik, yang diaspirasikan oleh rakyat Syria berdasarkan Geneva Communique 2254," tambahnya.
#Bashar al-Assad
#Geneva
#Geneva Communique
#Majlis Keselamatan PBB
#Nasr Hariri
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#resolusi 2118
#resolusi 2254
#Staffan de Mistura
#Syria