Bashar al-Assad sudah tersungkur, apa cerita Syria sekarang?

Hilal Azmi
Januari 26, 2025 09:00 MYT
“Bersama kita bina negara” - antara poster lama yang ditinggalkan di Pejabat Perisikan Al-Mukhabarat Al-Jawiyah, Aleppo. - Gambar Astro AWANI/ Hilal Azmi
ALEPPO, SYRIA: "Tahniah! Kita sudah menang!"
Inilah kalimat yang sentiasa menjadi ratib dalam kalangan penduduk tempatan dan sering kedengaran ke telinga sejak saya tiba di sini, minggu lalu.
Kata-kata kegembiraan yang disuarakan masyarakat di sini membawa saya jauh merenung dan menelaah apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “kebebasan” untuk rakyat Syria?
Setelah hampir sedekad tidak kembali ke Timur Aleppo, saya dapati bandar di bumi yang sarat menyimpan sejarah dan digambarkan cendekiawan Islam sebagai tanah penuh keberkatan ini masih dipenuhi runtuhan bangunan, jalan-jalan yang rosak serta prasarana lain yang sudah tidak kelihatan “rupa” sebenar.
Namun, jauh lebih menjentik emosi saya ialah melihat wajah-wajah setiap seorang penduduk yang jelas menggambarkan lelah mereka menanti masa depan yang lebih cerah.
Berdekad hidup rakyat Syria dalam kesukaran.
Benar, Bashaar al-Assad sudah tiada, tetapi, soalan yang harus ditanya apakah kehidupan rakyat tempatan benar-benar berubah?
Saya berjalan di tengah-tengah sisa-sisa peperangan, bertemu rakan-rakan lama dan berbincang dengan pemimpin komuniti.
Mereka semua bersetuju: harapan ada - tetapi cabaran menanti di hadapan jauh lebih besar.
Menurut Rami, antara rakyat Syria yang ditemui memberitahu, dia akan kembali ke tanah leluhurnya apabila sampai masanya kelak.
Kepulangannya ketika ini adalah untuk meninjau peluang yang ada serta kemudahan asas yang perlu diberi perhatian sebelum membawa semua ahli keluarganya kembali ke tanah air.
“Cabaran saya ketika ini ialah anak saya yang sudah bersekolah dan masih belajar di kolej.
“Sudah lebih 10 tahun mereka tinggal dengan segala kelengkapan, apakah benar mereka boleh tinggal di sini sekarang dengan segalanya serba kekurangan?” Kata Rami sambil tersenyum.
“Kalau saya sebagai orang dewasa, mungkin saya boleh sesuaikan diri, yang pasti ini negara saya, Aleppo bandar yang saya akan teruskan hidup,” tambahnya lagi.
Runtuhan masih ada, tapi harapan kini memuncak
Sejak Assad digulingkan oleh pejuang tempatan 8 Disember 2024 lalu, hampir 30 peratus pelarian Syria di negara-negara Timur Tengah dilaporkan ingin pulang dalam tempoh setahun.
Data ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu, apabila hampir tiada yang berminat untuk kembali ketika kajian dibuat.
Menurut Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian di seluruh dunia, kira-kira 200,000 pelarian telah pulang sejak 50 hari yang lalu, manakala 300,000 lagi kembali pulang dari Lubnan semasa konflik Hezbollah-Israel memuncak pada September dan Oktober 2023.
Persoalannya, bagaimana mereka boleh hidup semula apabila rumah mereka telah musnah?
Cabaran membina semula kehidupan
Walaupun Assad sudah tiada, kesan perang masih terang.
Parut serta kecederaan perang saudara ini amat terserlah ketika melalui kawasan sekitar Timur Aleppo.
Perkhidmatan asas seperti elektrik dan air bersih masih tidak stabil.
Majoriti penduduk hidup dalam kemiskinan dan ekonomi Syria masih terputus dari dunia akibat sekatan Barat.
Dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan, bersama pihak Global Peace Mission (GPM) Malaysia, keluhan yang dikongsi ialah bantuan antarabangsa amat diperlukan.
Ketika ini PBB menyediakan bantuan tunai untuk pengangkutan, makanan dan sokongan untuk membaiki rumah yang rosak.
"Lebih banyak bantuan diperlukan daripada penderma antarabangsa,” tambah Grandi.
Ancaman masih ada, kerajaan belum stabil
Kejatuhan Assad sememangnya mengundang harapan setinggi Gunung Hermon biarpun sebahagian kawasannya diasak Israel untuk terus dijarah.
Keamanan yang dikecapi sejak 50 hari lalu pada hakikatnya masih rapuh.
Kerajaan sementara pimpinan pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa belum menetapkan tarikh untuk memanggil semua pemimpin utama negaranya bagi membentuk perlembagaan Syria yang baharu.
Realitinya, terdapat beberapa kawasan masih dikuasai oleh kumpulan bersenjata serta ketegangan masih berlaku di beberapa kawasan utara dan selatan Syria.
Percaturan politik untuk membentuk kerajaan yang lebih inklusif dan mewakili kepelbagaian Syria masih berjalan.
Tapi, ramai masih tertanya-tanya - apakah struktur kerajaan yang bakal dibentuk kelak?
Adakah ia benar-benar mewakili semua pihak atau hanya sekadar perubahan wajah tanpa perubahan sistem?
Soalan yang tiada jawapannya.
Sekatan Barat: Halangan atau penyelesaian?
Syria masih di bawah sekatan Barat yang ketat, yang menyukarkan pemulihan ekonomi.
Walaupun Amerika Syarikat baru-baru ini memberikan pengecualian sekatan selama enam bulan untuk beberapa sektor seperti tenaga, pemimpin baharu Syria mendesak lebih banyak bantuan diperlukan.
Bayangkan, segala transaksi hanya boleh dilakukan dengan kaedah tunai!
Sudahlah pentadbiran negara sedang rapuh, sekatan ekonomi sebegini dilihat terus menekan Syria sekiranya ia dibiarkan berpanjangan.
Analisis: Bebas tapi masih terbelenggu
Sebagai seorang wartawan yang pernah menjadi saksi kehancuran Aleppo pada 2014, hati kecil saya berbisik menyatakan kekaguman melihat semangat rakyat Syria yang tidak pernah padam.
Mereka mahu membina semula kehidupan mereka, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.
Tapi, persoalan besar masih sama - bagaimana kehidupan itu dapat kembali dibina apabila rumah mereka musnah?
Bagaimana mereka boleh membina masa depan apabila ekonomi mereka masih terputus dari dunia?
Apakah mungkin Syria perlu mula menjenguk wilayah paling stabil dan aman di dunia seperti ASEAN untuk dijadikan destinasi rujukan agar lebih pantas bergerak ke hadapan?
Dan yang paling penting, bagaimana mereka boleh yakin dengan kerajaan baharu yang masih dalam proses pembentukan?
Assad mungkin sudah tiada, mungkin hanya kesepakatan seluruh Syria sahaja yang mampu menjayakannya.
Masa akan menentukan segala-galanya…

* Hilal Azmi kini berada di Syria bersama pasukan dari Global Peace Mission Malaysia untuk Misi Musim Sejuk.
#Syria #Bashaar al-Assad #konflik syria #Syria pasca perang
;