Bashar Al-Assad mahu jumpa Kim Jong-un di Pyongyang

Agensi
Jun 3, 2018 06:24 MYT
Agensi berita KCNA melaporkan Bashar (kiri) mahu bertemu dengan Jong-un (kanan) di Pyongyang. - Gambar fail
Presiden Syria Bashar al-Assad merancang untuk melawat pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Pyongyang, yang dilihat sebagai pertemuan pertama seumpamanya antara Jong-un dengan pemimpin negara luar.
“Saya akan membuat lawatan ke Korea Utara dan bertemu Kim Jong-un,” kata Bashar pada 30 Mei seperti yang dilaporkan agensi berita KCNA.
Tiada sebarang ulasan balas dari pejabat Presiden Syria mengenai perkara itu.
Bashar dilaporkan berkata demikian ketika menerima watikah Duta Besar Korea Utara, Mun Jong Nam.
Pyongyang dan Damsyik meneruskan hubungan dua hala yang baik, dan pemantau dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendakwa Korea Utara bekerjasama dengan Syria dalam urusan berkenaan senjata kimia.
Korea Utara bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Kedua-dua negara berdepan layanan dingin di peringkat antarabangsa – Korea Utara atas sebab senjata nuklearnya manakala Syria atas sebab perang saudara yang banyak mengorbankan nyawa.
Sejak awal tahun ini, Jong-un telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari China dan Korea Selatan, dan bakal menghadiri sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Singapura pada 12 Jun nanti.
Semenjak di tampuk kuasa pada 2011, Kim belum pernah menerima sebarang kunjungan pemimpin negara asing di Korea Utara.
“Dunia mengalu-alukan perkembangan di Semenanjung Korea yang dicetuskan daripada kewibawaan dan kebijaksanaan politik Kim Jong-un.
“Saya pasti beliau akan meraih kejayaan dan menyatukan Korea tanpa gagal,” Bashar dipetik berkata KCNA.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, Korea Utara menjalin hubungan diplomatik dengan Syria pada tahun 1966, dengan membuka pejabat kedutaan di Damsyik.
Syria pula membuka kedutaannya di Pyongyang pada 1969.
Kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara bermula apabila Korea Utara menghantar pasukan seramai 530 anggota termasuk juruterbang, pemandu kereta kebal dan pakar peluru berpandu ke Syria ketika perang Arab-Israel pada Oktober 1973.
#Bashar al-Assad #Damsyik #Kim Jong-un #Korea Utara #pemimpin #perang #pertemuan #Pyongyang #senjata kimia #Syria
;