Bas terjunam ke dalam terusan di India, 28 dikhuatiri maut
Agensi
November 24, 2018 21:30 MYT
November 24, 2018 21:30 MYT
Sekurang-kurangnya 28 orang maut akibat lemas selepas bas yang dinaiki mereka terjunam ke sebuah terusan di India, pada Sabtu.
Kenyataan polis menyebut bas milik persendirian itu terbabas akibat pemandunya hilang kawalan, sebelum jatuh ke dalam terusan yang terletak di daerah Mandya, selatan Karnataka.
Seorang pegawai polis memberitahu AFP, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Polis bagaimanapun belum dapat memberikan jumlah sebenar penumpang atau punca kemalangan itu, tetapi laporan awal mendapati bas dipandu laju.
Media tempatan melaporkan bas itu dinaiki 35 orang penumpang.
Rakaman video menunjukkan orang awam menggunakan tali untuk menarik bas dan mengeluarkan mayat.
Usaha menyelamat turut dibantu kumpulan sukarelawan.