Bas terjun gaung: Selfie terakhir rakam detik sebelum kemalangan maut
Agensi
September 11, 2018 15:43 MYT
September 11, 2018 15:43 MYT
Malang tidak berbau. Itu perumpamaan yang menggambarkan situasi tidak dijangka yang menghantui kehidupan seseorang.
Tiada siapa menginginkan tragedi berlaku dalam hidup mereka, apatah lagi jika melibatkan orang yang tersayang.
Namun kemalangan maut pada Sabtu lalu di Jalan Raya Cikidang-Pelabuhanratu, Sukabumi meninggalkan kisah duka bagi keluarga korban.
Kemalangan yang meragut nyawa 21 mangsa itu baru-baru ini kembali diperkatakan apabila satu foto penumpang bas malang itu sebelum kemalangan berlaku mulai tular di media sosial.
Gambar tersebut menunjukkan penumpang yang merupakan pekerja sebuah syarikat yang dalam perjalanan ke Pelabuhanratu untuk satu kem motivasi.
Foto yang diperoleh TribunnewsBogor.com melalui WhatsApp salah seorang mangsa itu jelas memaparkan keriangan para pekerja di dalam bas sejurus sebelum kemalangan.
Dalam kejadian pada Sabtu itu, bas yang membawa kira-kira 30 penumpang itu terbabas lalu terjunam ke gaung.
Menurut saksi, bas itu dilihat menuruni bukit secara melulu dan hilang kawalan sebelum terjunam kira-kira 10 meter ke gaung.