Bas terbakar di Pakistan, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

Bernama
Oktober 13, 2022 18:06 MYT
Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku akibat sistem pendingin hawa kenderaan terbabit mengalami kerosakan. - AP
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 18 orang termasuk lapan kanak-kanak terkorban manakala 28 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbakar di daerah Jamshoro selatan Pakistan, pada Rabu.
Timbalan Penguasa Polis Wajid Thaheem memberitahu media bahawa bas itu terbakar ketika tiba di kawasan Nooriabad di daerah Jamshoror, Sindh.
Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku akibat sistem pendingin hawa kenderaan terbabit mengalami kerosakan.
Bas yang membawa 55 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Karachi ke kawasan Khairpur Nathan Shah di daerah Dadu.
Anggota polis, pasukan penyelamat dan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran, serta memindahkan mayat dan penumpang yang cedera ke Hospital Universiti Liaquat di Jamshoro.
Seramai sembilan wanita turut maut dalam kemalangan itu manakala angka kematian dikhuatiri meningkat.
-- BERNAMA
#Pakistan #bas terbakar #kanak-kanak terkorban #kebakaran
;