Bas persiaran jadi pusat jalani ujian saringan
Agensi
April 9, 2020 05:47 MYT
April 9, 2020 05:47 MYT
SALAH sebuah bandar terbesar di Jerman iaitu Frankfurt memulakan fasiliti ujian saringan COVID-19 mudah alih menggunakan bas persiaran.
Ia bagi membolehkan ujian saringan dilakukan terhadap petugas rumah jagaan dan komuniti yang sukar keluar rumah.
Menurut pihak berkuasa, keputusan ujian saringan tersebut akan dapat diketahui dalam masa 24 hingga 72 jam.
Sejumlah 8,000 ujian dijangka dapat dilakukan di lebih 50 pusat jagaan di bandar tersebut.
Menurut Ketua Ujian Perubatan bagi kemudahan ujian mudah alih, Dr Matthias Bollinger, ujian mudah alih ini adalah khas buat mereka yang tidak dapat melakukan saringan di pusat kesihatan.
“Ini adalah penyakit berjangkit dan masih ada pesakit dan orang awam yang menghadapi keadaan mobiliti yang terhad.
"Jadi ini bermakna, komuniti yang tinggal berdekatan ini ada berjumpa dengan orang lain tetapi tidak dapat melakukan ujian saringan.
“Jadi pasukan perubatan yang perlu berjumpa dengan mereka dan melakukan saringan secara besar-besaran.
“Komuniti tersebut turut mengambil pendekatan ini secara positif dan memahami langkah-langkah ujian saringan ini dilakukan,” jelasnya.
Setakat Khamis, Jerman mencatatkan 113,000 kes positif COVID-19 dengan 2,349 kematian.
Sebelum ini, Jerman antara negara yang cepat bertindak bagi menangani wabak ini sehingga mencapai penurunan kes positif dari semasa ke semasa.
Antaranya penutupan tempat awam termasuk sekolah dan mengarahkan orang ramai yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit untuk mengkuarantinkan diri serta-merta.
Ini termasuk meningkatkan perkhidmatan perubatan dengan mengembangkan sistem pengujian COVID-19 sejak Februari lalu.