Bas jatuh gaung di Peru, 44 nyawa melayang
Reuters
Februari 22, 2018 12:08 MYT
Februari 22, 2018 12:08 MYT
Sekurang-kurangnya 44 orang dilaporkan maut dalam tragedi kemalangan bas yang terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter di lebuh raya Panamericana di daerah Ocona, Peru pada Rabu.
Namun pihak polis menjangkakan jumlah penumpang bas mungkin lebih daripada itu, memandangkan beberapa nama penumpang tiada dalam sistem pendaftaran nama penumpang yang menaiki bas itu.
“Sebanyak 44 orang disahkan maut setakat ini menurut laporan polis” kata Yamila Osorio, Gabenor Wilayah Arequipa di Twitter.
Kemalangan itu berlaku di lengkungan lebuh raya utama Peru yang terletak di Arequipa. Kemalangan jalan raya dianggap perkara yang biasa di Peru kerana jalan raya di sana disifatkan tidak selamat dan pemandu bas kurang mendapat latihan.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa kemalangan di Arequipa.” menurut Presiden Peru Pedro Pablo Kuczynski melalui akaun Twitter.
“Kita telah memberi bantuan segera dan menghantar mangsa ke pusat kesihatan terdekat agar mereka mendapat rawatan secepat mungkin,” tambahnya.
Insiden ini merupakan yang kedua teruk berlaku di Peru, selepas kemalangan pada 2 Januari lalu yang mengorbankan 52 penumpang bas.