Bas bertembung lori minyak di Afghanistan, 35 maut

Agensi
September 4, 2016 13:30 MYT
Bas penumpang itu dalam perjalanan dari Kandahar menuju ke Kabul sebelum terbabit nahas. - Gambar fail
Sekurang-kurangnya 35 terbunuh awal pagi Ahad apabila sebuah bas penumpang bertembung secara berhadapan dengan sebuah lori tangki minyak di wilayah Zabul ke selatan negara itu.
Ramai daripada mereka yang maut terdiri dari golongan wanita dan kanak-kanak. Mangsa dikatakan terbakar sehingga rentung.
“Bas penumpang itu dalam perjalanan dari Kandahar menuju ke Kabul sebelum bertembung dengan lori tangki terbabit. Dalam nahas itu, 35 terbunuh manakala 20 yang lain cedera,” maklum Gabenor wilayah Zabul, Bismillah Afghanmal kepada AFP.
Afghanistan sememangnya dikenali mempunyai sistem jalanraya yang merbahaya dengan keadaan yang tidak baik dan pemandu mengabaikan peraturan.
Pada Mei sekurang-kurangnya 73 maut apabila dua bas penumpang bertembung dengan lori tangki minyak di wilayah Ghazni.
Kejadian seumpamanya turut berlaku di selatan wilayah Kandahar pada 2013, yang meragut 45 nyawa.
Perang dan sengketa kaum turut membantutkan usaha memperbaiki infrastruktur penting di negara itu.
#Afghanistan #Bas bertembung #kemalangan #nahas Afghanistan #Zabul
;