Baru sejam meninggal, suami terkejut lihat mayat isteri diperkosa jururawat
Madiha Abdullah
Oktober 20, 2017 16:10 MYT
Oktober 20, 2017 16:10 MYT
SEORANG suami yang masih bersedih atas kematian isterinya terkejut apabila ternampak mayat orang tersayangnya itu diperkosa petugas hospital.
Dalam kejadian di sebuah hospital di bandar La Paz, Bolivia, si suami yang kembali semula ke bilik mayat terserempak dengan suspek yang sedang merogol mayat isterinya.
Dia lantas menerkam ke arah pelaku yang juga jururawat lelaki di hospital itu dan membelasahnya.
Menurut si suami, ketika kejadian isterinya baru sahaja sejam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.
"Ketika keluarga sedang menguruskan bayaran bil hospital, saya ke bilik mayat untuk melihat isteri. Tetapi saya terkejut apabila mendapati dia sedang memperkosa isteri saya," katanya.
Jururawat berkenaan Grover Macuchapi, 27, dibawa ke balai polis oleh pihak hospital dan ahli keluarga si mati.
Portal Metro UK melaporkan Macuchapi dalam kenyataannya kepada polis memberitahu dia tidak ingat apa yang terjadi ketika kejadian.
"Saya rasa seperti bermimpi. Saya hanya sedar apabila suaminya memukul kepala saya," kata Macuchapi.
Macuchapi bagaimanapun tidak boleh didakwa atas tuduhan perlakuan nekrofilia (perlakuan seks ke atas mayat) kerana tidak ada undang-undang yang jelas berhubung kes seumpama itu di negara tersebut.
Pihak berkuasa kini sedang membincangkan untuk mendakwa Macuchapi atas pertuduhan melakukan pencabulan.