Baru buka kedai gunting rambut kini terpaksa ditutup

Sinar Harian
Jun 30, 2021 09:54 MYT
Mohamad Afif terpaksa akur untuk menutup kedai gunting rambut yang baru dibukanya pada Mac lalu ekoran pelaksanaan PKP 3.0. - Foto Sinar Harian
TEMERLOH: Baru beberapa bulan membuka kedai gunting rambut sendiri, seorang pemuda kini terpaksa menutup kedainya itu ekoran pelaksanaan Perintah Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' sejak 1 Jun lalu.
Pemilik Cineegos Barbershop, Mohamad Afif Firdaus Mohd Arif, 22 dari Kampung Batu Kapor, Mentakab kini menolong ibu saudaranya di gerai menjual makanan bergoreng di bandar tersebut.
"Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan orang lain di Selangor, namun saya terpaksa berhenti kerja dan kembali ke kampung selepas kedai ini ditutup akibat pandemik Covid-19.
"Saya kemudian buka kedai sendiri pada Mac lalu tapi tak angka COVID-19 masih belum reda dan kini berdepan semula Sekatan Pergerakan Penuh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengakui tertekan dengan situasi tersebut, anak kedua dari empat beradik itu tetap cekal mengharungi keperitan terbabit.
"Baru nak bernafas terduduk semula tapi saya akur dengan perintah kerajaan dan memang ramai menagih khidmat tapi terpaksa tolak.
"Biarpun pendapatan dengan menolong ibu saudara hanya RM30 sehari berbanding lebih RM100 sebelum ini, tetapi saya reda ia lebih baik berbanding tiada langsung," akuinya.
Dalam pada itu, dia memberitahu hasil upah yang diterima juga dapat membantu dirinya untuk menjelaskan sewa kedai RM300 sebulan selain bergantung dengan simpanan sedia ada.
"Saya berharap pandemik ini cepat pulih dan dapat meneruskan kembali operasi kedai seperti biasa," tambahnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Baru buka kedai gunting rambut kini terpaksa ditutup
#kedai #gunting rambut #COVID-19 #PKP #total lockdown
;