Baru 5 minit berkahwin, pasangan muda maut dalam kemalangan tragik
Agensi
Ogos 25, 2019 13:31 MYT
Ogos 25, 2019 13:31 MYT
Baru beberapa minit mendirikan rumah tangga, satu pasangan suami isteri di Amerika Syarikat maut dalam kemalangan di hadapan gereja di mana majlis perkahwinan mereka dijalankan.
Pasangan Rhiannon Boudreaux, 20, dan Harley Morgan, 19, terkorban apabila kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah trak tunda di lebuh raya Orange County, Texas.
Menurut laporan, pasangan itu baru saja meninggalkan majlis perkahwinan mereka pada jam 3 petang Jumaat dan sedang menunggu di persimpangan jalan untuk masuk ke lebuh raya.
Dengan tidak semena-mena, kereta mereka dilanggar trak tunda tersebut hingga kereta mereka terbalik beberapa kali.
Kaum keluarga pasangan yang berada di situ terkejut dengan kejadian dan bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan pasangan pengantin itu, namun gagal.
Ibu kepada pengantin perempuan, LaShawna memberitahu media tempatan bahawa pasangan itu sudah menjalinkan pencintaan sejak dari bangku sekolah lagi.
“Perkara yang paling saya takuti akhirnya berlaku di depan mata. Saya menyaksikan sendiri pemergian anak kesayangan saya.
"Di baju saya masih terdapat tompokan darah Harley kerana saya cuba membawa jasadnya keluar dari kenderaan itu.
“Jika anda masih mempunyai anak, pulanglah ke rumah dan peluklah mereka kerana saya sudah tidak mempunyai anak lagi.
"Saya sudah kehilangan satu-satunya perkara yang menggembirakan hidup saya,” katanya lagi.
Pemandu trak tunda itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
#Amerika Syarikat
#Harley Morgan
#kemalangan
#LaShawna
#meninggal dunia
#perkahwinan
#Rhiannon Boudreaux