Barista Starbucks enggan sebut nama 'Trump'
Syafique Shuib
April 6, 2016 11:33 MYT
April 6, 2016 11:33 MYT
SEORANG barista di Starbucks Amerika Syarikat (AS) dilaporkan enggan menyebut nama ‘Trump’ yang merujuk kepada usahawan terkenal Donald Trump apabila pesanan siap dibuat.
Ini kerana pelakon 'Happy Days' yang popular pada era 80-an Scott Baio sengaja menggunakan nama ‘Trump’ apabila ditanya oleh barista itu.
Dakwa Baio, apabila pesanan siap untuk diambil, barista berkenaan enggan menyebut nama bakal calon Presiden AS yang mewakili parti Republikan itu.
Baio yang merupakan antara penyokong tegar Trump berkongsi pengalaman itu di Twitter.
Selain itu, beliau turut menyindir barista berkenaan dengan berkata bahawa pekerja itu mungkin penyokong Bernie Sanders dari parti Demokrat.
Susulan itu, beberapa netizen turut melakukan ‘eksperimen sosial’ ini khususnya di Starbucks.
Berbeza dengan pengalaman Baio, ada yang berkata bahawa ada barista yang sudi menyebut nama Trump apabila pesanan sudah siap untuk diambil.
Tidak berpuas hati dengan tindakan Starbucks, ada penyokong Trump mahu Starbucks diboikot.