Barbara Walters meninggal dunia pada usia 93 tahun

Faida Rahim
Disember 31, 2022 04:30 MYT
Walters berkhidmat di hadapan kamera sepanjang 50 tahun sebagai penyampai sehingga berusia 84 tahun. - Foto AP Photo/Evan Agostini
LOS ANGELES: Wartawan televisyen terkenal dengan kemahiran menemubual disegani, Barbara Walters dilaporkan meninggal dunia, semalam.
Memetik laporan CNN, Walters meninggal dunia pada usia 93 tahun di kediamannya.
“Walters meninggal dunia dengan aman di rumahnya di samping orang tersayang. Dia menjalani hidupnya tanpa penyesalan. Bukan sahaja pelopor dalam dunia kewartawanan, Walters juga menjadi idola semua wanita di dunia,” kata jurucakap Walters Cindi Berger kepada CNN dalam satu kenyataan.
Kematiannya turut dilaporkan oleh ABC News, syarikat penyiaran di mana Walters menjadi penyampai dan produser rancangan bual bicara "The View."
Walters berkhidmat di hadapan kamera sepanjang 50 tahun sebagai penyampai sehingga berusia 84 tahun.
Kebolehan Walters dikagumi peminatnya kerana bijak berkata-kata dan mampu bertanyakan soalan peribadi kepada individu berprofil tinggin namun dalam masa sama mampu mengawal keadaan dan emosi sebaiknya.
Muncul dalam rancangan “Today” yang bersiaran di saluran NBC, Walters aktif berada di depan kamera sejak tahun 1964 dan dipilih menjadi hos tetap sedekad kemudian.
Kejayaannya turut membuka peluang untuk pelapis masa depan seperti Jane Pauley, Katie Couric dan Diane Sawyer.
Terdahulu, Walters memulakan karier sebagai penulis rancangan “Today” di NBC. Apabila dia meninggalkan NBC dan berhijrah ke saluran ABC pada tahun 1976 untuk menjadi pasangan hos bersama Harry Reasoner, beliau mengikat kontrak dengan bayaran sebanyak USD 5 juta (RM
Walters meninggalkan "The View" pada 2014, tetapi kekal sebagai kakitangan sambilan kepada ABC News selama dua tahun.
Walters pernah berkahwin sebanyak empat kali antaranya bersama eksekutif perniagaan Robert Katz, penerbit Lee Guber dan dua kali berkahwin dengan mogul hiburan Merv Adelson.
Perkahwinan kali kedua dengan Adelson berakhir pada tahun 1992. Dia meninggalkan seorang anak angkat perempuan, Jackie yang diambil bersama Guber pada tahun 1968.
#Barbera Walters #wartawan #Hollywood #The View