Bapa tidur kepenatan, tidak sedar anak 5 tahun jatuh balkoni hotel

Saraya Mia
Mei 14, 2019 13:45 MYT
Anak itu mengalami masalah berjalan sambil tidur dan dipercayai menyebabkan dia keluar bilik tanpa pengetahuan bapanya. -Foto video viral
Tular di media sosial baru-baru ini rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang kanak-kanak memanjat penghadang balkoni sebuah hotel sebelum terjatuh.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Pattaya itu, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berkenaan terjatuh dari tingkat tinggi hotel yang terletak di Pantai Jomtien pada Ahad.
Kanak-kanak itu walau bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan akibat patah tangan dan kaki.
Menurut laporan media tempatan, bapa mangsa Decha Sukphlam, 43, tertidur akibat kepenatan dan tidak sedar anaknya keluar dari bilik.
Decha yang bertugas sebagai pegawai imigresen membawa anaknya ke hotel itu untuk urusan kerja di Pattaya, lapor Ruk Siam News.
Menurut Decha, anaknya mengalami masalah berjalan ketika tidur.
Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak itu berlari di koridor dan kelihatan seperti cuba mencari bilik yang didiaminya.
Setelah gagal membuka pintu sebuah bilik, dia kemudian dilihat memanjat penghadang balkoni dan bergantung pada selusur sebelum terjatuh.
Media tempatan bagaimanapun tidak menyatakan secara pasti tingkat hotel di mana kanak-kanak itu terjatuh.
#anak #CCTV #cedera #hotel #jatuh #Kanak-kanak #Pattaya #perempuan #Thailand
;