Bapa tetak tangan hingga putus remaja didakwa rogol anak umur 7 bulan

Agensi
April 21, 2016 19:33 MYT
Tertuduh yang menghadapi pendarahan teruk hampir sahaja mati. - Gambar hiasan
Sesetengah bapa rela melakukan apa sahaja buat anak mereka yang tersayang, namun buat seorang bapa dari wilayah Bathing di India, beliau sanggup melanggar undang-undang semata-mata untuk membalas dendam.
Semuanya bermula dua tahun lalu apabila seorang remaja berusia 14 tahun berhadapan tuduhan merogol anak perempuan Parminder Singh yang berusia 7 bulan. Ia selepas ibu bayi terbabit mendakwa terserempak remaja berkenaan ketika sedang mencabul anaknya, lapor AFP.
Selasa lalu, tertuduh yang kini berusia 17 tahun akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Rama Mandi, dalam negeri Punjab, namun perbicaraan ditangguhkan mahkamah.
Singh sebaliknya mengambil kesempatan itu untuk bertemu dengan tertuduh kononnya bagi menawarkan penyelesaian kes di luar mahkamah dan berjanji untuk menghantarnya pulang dengan motosikal.
Namun perkara sebaliknya dilaporkan berlaku.
Singh telah membawa remaja berkenaan ke sebuah terusan, mengikatnya ke sebatang pokok, membelasah dan memotong kedua-dua belah tangan di bahagian lengan tertuduh bagi membalas dendam.
Tertuduh yang menghadapi pendarahan teruk hampir sahaja mati. Mujur masih belum bertemu ajal apabila jeritannya berjaya didengari penduduk kampung berdekatan dan menyelamatkannya.
Singh bagaimanapun lebih awal melarikan diri.
Pihak polis kini sedang memburunya dengan dakwaan cubaan membunuh.
Tindakan membalas dendam dianggap satu kebiasaan di India namun kebanyakkannya tidak dilaporkan.
Pada 2014 seorang bapa menjemput seorang lelaki yang merogol anaknya sehingga mengandung untuk makan malam sebelum mendera dan kemudiannya membunuh pemuda terbabit.
Lelaki itu kemudiannya menyerah diri kepada polis dan berkata dia mengambil keputusan itu kerana bimbang keadilan tidak dapat dicapai.
#india tetak putus #Punjab #remaja #rogol
;