Bapa tembak mati anak, menantu sebelum tembak diri sendiri
Agensi
Januari 2, 2020 13:33 MYT
Januari 2, 2020 13:33 MYT
Seorang bapa tergamak menembak mati anak perempuan dan menantunya pada malam ambang sambutan tahun baharu dalam kejadian di Salisbury Street, Melbourne, Australia.
Selepas menembak mati dua ahli keluarganya, lelaki itu kemudian menembak dirinya sendiri, namun hanya mengalami kecederaan, lapor Nine News.
Suspek berusia 55 tahun itu difahamkan menyerang anaknya Lindita Musai, 25, dan menantu, Veto Musai, 29, sekitar jam 10.30 malam pada Selasa.
Menurut saksi, suspek dilihat melompat keluar dari belukar sebelum mengacukan pistol ke arah dagunya.
Sementara itu, sepupu Veto dalam muat naik statusnya di Facebook menulis: “Kami kehilangan sepupu kesayangan saya dan isterinya. Sukar untuk saya jelaskan perasaan saya ketika ini.
"Kami hanya mampu berdoa dan Tuhan yang membuatkan kami kuat. Kejamnya seorang bapa yang sanggup meragut nyawa anaknya sendiri,” katanya.
Difahamkan, pasangan itu baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.
Lindita dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.