Bapa 'tak sengaja' rogol anak disangka isteri baharunya
Astro Awani
Januari 11, 2019 16:50 MYT
Januari 11, 2019 16:50 MYT
Seorang lelaki mengaku tidak sengaja merogol anak perempuannya sendiri selepas mabuk dan keletihan pada majlis resepsi perkahwinannya.
Dalam kejadian di Kolding, selatan Denmark pada Ogos tahun lepas, anak perempuannya yang berusia 20 tahun itu mabuk teruk dan tidak mampu pulang ke kediaman sementaranya yang terletak berdekatan.
Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian membawa anaknya ke bilik dan membaringkannya di atas katil pengantin.
Tidak lama kemudian, pasangan pengantin itu kembali ke bilik dengan si bapa tidur di tengah-tengah di antara anak dan isteri baharunya.
Dalam penghakiman kes baru-baru ini, tertuduh berkata dia tidak sengaja merogol anak perempuannya kerana menyangkakan mangsa ialah isteri baharunya.
Anaknya bagaimanapun berkata ayahnya sengaja melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun dia merayu agar tidak diperlakukan sedemikian dalam kejadian sekitar jam 4 dan 4.45 pagi itu.
Mangsa dipercayai tidak dapat melawan disebabkan mabuk teruk.
Tertuduh yang didapati bersalah dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan.