Bapa Shamima Begum gesa Britain terima anaknya
Sinar Harian
Februari 26, 2019 10:18 MYT
Februari 26, 2019 10:18 MYT
Bapa kepada remaja London yang menyertai militan Daesh di Syria ketika berusia 15 tahun berkata, Britain harus menerima kembali anaknya sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.
Dalam satu temuramah bersama AFP semalam, Ahmed Ali berkata walaupun anak perempuannya, Shamima Begum telah melakukan kesilapan, Britain bertanggungjawab untuk membenarkannya pulang ke negara itu.
"Kerajaan Britain harus menerimanya kembali kerana dia seorang warga Britain.
"Sekiranya dia telah melakukan jenayah, dia harus dibawa pulang ke Britain dan menerima hukuman di sana," kata Ahmed yang mengikuti perkembangan anaknya dari sebuah kampung terpencil di timur laut Bangladesh.
Bapa berusia 60 tahun itu turut berkata, setiap manusia pasti melakukan kesalahan dan dia juga berasa sedih memikirkan nasib anaknya sekarang.
Ahmed percaya keputusan Shamima untuk menyertai Daesh pada usia muda mungkin dipengaruhi oleh pihak tertentu.
Menurut Ahmed yang tinggal bersama isteri keduanya di Kampung Daorai, wilayah Sunamganj, ketika kali terakhir bertemu Shamima di Britain, dua bulan sebelum dia melarikan diri ke Syria bersama dua rakan sekolahnya, Kadiza Sultana dan Amira Abase pada Mac 2015, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.
Shamima yang kini berusia 19 tahun dan baharu sahaja melahirkan seorang bayi lelaki di Kem al-Hawi yang menempatkan isteri anggota Daesh yang ditangkap, menyatakan hasrat untuk pulang, namun kerajaan Britain telah melucutkan kewarganegaraannya dengan menggunakan alasan ancaman keselamatan.
Kerajaan Britain berkata, Shamima berhak mendapat kerakyatan Bangladesh, namun menurut Ahmed, anak perempuannya itu bukan warganegara Bangladesh dan tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Terdahulu, Tasnime Akunjee, peguam keluarga Shamima berkata, remaja berkenaan dilahirkan di Britain dan tidak pernah memilik pasport Bangladesh.