Bapa saya dibunuh - Abdullah Morsi
Agensi
Jun 23, 2019 09:06 MYT
Jun 23, 2019 09:06 MYT
Anak lelaki bekas Presiden Mesir, Mohammed Morsi mendakwa Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan beberapa individu lain 'membunuh' bapanya.
Menerusi Twitter kelmarin, Abdullah menamakan bekas Menteri Dalam Negeri, Mahmoud Tawfiq dan Magdy Abdel Ghaffar, hakim Shirin Fahmy, Shaaban al-Shami dan Ahmed Sabry serta Peguam Negara, Nabil Sadek dan Ketua Perkhidmatan Risikan, Abbas Kamel yang digelar sebagai 'rakan kongsi' al-Sisi dalam pembunuhan bapanya.
Mursi yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2013 dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh pengsan di dalam kandang kaca kalis bunyi ketika perbicaraan di Kaherah atas dakwaan melakukan pengintipan pada Isnin lalu.
Kematian pemimpin Gerakan Ikhwanul Muslimin yang menjadi presiden pertama dilantik menerusi proses demokrasi pada 2012 itu didakwa banyak pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati bebas sebagai bermotifkan politik.
Pemergian beliau turut mengejutkan banyak pihak dan hanya beberapa negara termasuk Malaysia menzahirkan ucapan takziah.
Negara antarabangsa lain hanya berdiam diri.Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang juga sekutu kuat Morsi menggesa kerajaan Mesir dibicarakan di mahkamah antarabangsa atas kematian pemimpin demokrasi terbabit.
"Morsi pengsan selama 20 minit dan pihak berkuasa langsung tidak membantu beliau. Saya tidak percaya ia adalah kematian biasa. Mursi telah dibunuh.
"Kami akan mengikuti perkembangan isu tersebut dan akan memastikan Mesir dibicarakan atas kematian Mursi," katanya yang turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak.
Selepas kematian Morsi, Menteri Dalam Negeri, Mejar Jeneral, Mahmoud Tawfiq melarang lawatan keluarga ke atas beberapa tahanan untuk tempoh yang belum ditetapkan.
Difahamkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk mengatasi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat.
Dalam satu kenyataan, Penyelarasan untuk Hak Asasi dan Kebebasan Mesir memberi amaran keputusan melarang lawatan keluarga itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan negara terbabit. - Agensi