Bapa perkosa anak kandung akibat percaya 'nasihat' pakar feng syui

Astro Awani
Oktober 19, 2021 09:52 MYT
Akibat terlalu percaya kepada 'nasihat' pakar feng syui, seorang lelaki tergamak memperkosa anak kandungnya sendiri. -Gambar hiasan
SINGAPURA: Akibat terlalu percaya kepada 'nasihat' pakar feng syui, seorang lelaki tergamak memperkosa anak kandungnya sendiri.
Pembantu kedai di Singapura itu diberitahu pakar feng syui di Malaysia bahawa dia akan ditimpa kecelakaan yang hanya boleh dielak jika melakukan hubungan seks dengan seorang perawan, lapor Straits Times.
Pakar feng syui itu menawarkan bantuan untuk mendapatkan perawan dengan harga RM2,000 (S$650), tetapi lelaki itu sebaliknya memutuskan untuk melakukan hubungan seks dengan anak perempuannya sendiri yang berusia 11 tahun.
Lelaki itu, yang kini berusia 50 tahun, dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada Isnin (18 Okt) setelah dia mengaku salah atas satu tuduhan pemerkosaan dan satu tuduhan serangan seksual.
Tujuh tuduhan lain, termasuk enam tuduhan mencabul kehormatan, turut dipertimbangkan atas kesalahan yang dilakukan di antara Oktober dan Disember 2018.
Disebabkan usianya, dia tidak akan menjalani hukuman sebat, sebaliknya diganti dengan tambahan tempoh penjara.
Hakim Pang Khang Chau bersetuju dengan pendakwa raya bahawa kesalahan itu dilakukan dengan niat kerana tertuduh bertindak mengikut 'nasihat' pakar feng syui pada September 2018.
Hakim berkata tertuduh juga menunggu isteri dan seorang lagi anak perempuannya meninggalkan rumah sebelum merogol mangsa.
Tertuduh difahamkan tinggal bersama isteri, anak lelaki dan dua anak perempuannya di sebuah flat dengan empat bilik tidur.
Mangsa dan kakaknya tidur bersama ibu dan tertuduh.
Mangsa tidak mendedahkan tindakan keji itu kepada ibu atau kakaknya kerana tidak mahu ibu bapanya bercerai.
Rahsia itu walau bagaimanapun terbongkar apabila mangsa ditangkap guru di sekolah kerana merokok dan minum arak.
#rogol anak kandung #ditimpa kecelakaan #serangan seksual #pakar feng syui
;