Bapa penggal leher anak dihukum penjara 9 tahun

Agensi
Ogos 30, 2020 11:05 MYT
Romina Ashrafi, 14, dibunuh ketika sedang tidur kerana didakwa cuba kahwin lari dengan seorang lelaki 15 tahun lebih tua daripadanya. -Gambar fail/Twitter@Tiziana_1967
Seorang bapa dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah memenggal leher anaknya di kediaman mereka pada 21 Mei lalu.
Dalam kejadian di daerah Talesh, Iran itu, Romina Ashrafi, 14, dibunuh ketika sedang tidur kerana didakwa cuba kahwin lari dengan seorang lelaki 15 tahun lebih tua daripadanya.
Mangsa sebelum itu dilapor melarikan diri dari rumah selepas ayahnya enggan membenarkan dia berkahwin dengan kekasihnya itu.
Namun, mangsa ditahan dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa walaupun setelah merayu dilepaskan ekoran ancaman keselamatan yang mungkin dihadapinya.
Ibu mangsa, Rana Dashti dalam pada itu menuntut hukuman mati terhadap suaminya kerana bertindak kejam.
"Keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa kehakiman membuatkan saya dan keluarga jadi takut.
"Saya tidak mahu suami saya kembali ke kampung lagi dan berharap agar keputusan itu dikaji semula dan diubah agar ia lebih setimpal dengan perbuatannya," katanya yang dipetik laporan Iranian Labour News Agency (ILNA).
Menurut ILNA, undang-undang Iran menetapkan Kanun Keseksaan tanpa hukuman mati bagi seorang bapa dalam kes pembunuhan.
Mahkamah bagaimanapun hanya boleh menjatuhkan hukuman denda atau penjara kepada tertuduh.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan rakyat di negara itu.
Sementara itu, kekasih mangsa Bahman Khavari, 34, dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
#Bahman Khavari #Iran #kahwin lari #keluarga #lelaki 15 lebih tua #penggal leher anak #Romina Ashrafi
;