Bapa jumpa mayat anak ketika edar kad perkahwinan

Astro Awani
Jun 18, 2021 12:33 MYT
Siasatan polis masih dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat dalam pembunuhan tersebut. - Gambar hiasan
SEORANG wanita ditemui mati di tepi jalan di India beberapa hari sebelum hari perkahwinannya.
Lebih menyedihkan lagi, mayat wanita tersebut ditemui bapanya sendiri ketika menghantar kad jemputan perkahwinan kepada para tetamu, lapor The Times of India.
Kejadian dilaporkan berlaku di Surajnagar pada Isnin lepas.
Menurut Madanpal Singh, anaknya yang berusia 19 tahun telah keluar bersama bakal suami untuk membeli-belah bagi melengkapkan persiapan hari perkahwinan.
Ketika sedang menghantar kad jemputan perkahwinan, dia terlihat orang ramai mengelilingi mayat seseorang di tepi jalan.
Setelah mendekati mayat tersebut, dia terkejut apabila mendapati ia mayat anaknya Meenakshi Singh.
Polis kemudian menahan bakal suami Meenakshi, Jitin pada keesokan hari.
Ketika soal siasat dijalankan, Jitin mengaku telah membunuh Meenakshi selepas satu pertengkaran berlaku di antara mereka.
Siasatan mendapati Jitin tidak pernah setuju untuk berkahwin dengan Meenakshi namun dipaksa oleh kedua-dua keluarga mereka.
Dalam keterangannya kepada polis, Jitin berkata dia ingin berbincang dengan Meenakshi untuk membatalkan perkahwinan mereka.
Namun mereka bertengkar dan Jitin bertindak membunuh bakal isterinya sebelum mencampakkan mayat di tepi jalan.
Jitin bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.
Siasatan polis masih dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat dalam pembunuhan tersebut.
#mayat #wanita #bapa #perkahwinan #tunang #bakal suami #bunuh
;