Bapa jadi 'ibu' demi anak
Sinar Harian
Ogos 15, 2018 08:04 MYT
Ogos 15, 2018 08:04 MYT
DEMI anak, seorang bapa memakai pakaian wanita untuk menyambut Hari Ibu di sekolah mereka, lapor media tempatan.
Tidak mahu dua anaknya, Ozone, lima, dan Imsome, tiga,merasa tersisih ketika sambutan tradisional Hari Ibu pada Jumaat lalu, Chatchai Parnuthai, 32, datang ke sekolah anaknya di Kanchanaburi dengan memakai pakaian wanita yang dipinjam dari ibunya.
Ibu kanak-kanak terbabit dikatakan meninggalkan keluarga berkenaan tiga tahun lalu untuk berpindah ke Eropah.
Ozone dan Imsome yang sedang asyik memerhatikan rakan mereka bermain dengan ibu masing-masing, terkejut melihat kehadiran ayah mereka yang berpakaian wanita.
“Saya bapa tunggal dan cuma mahu dua anak saya gembira. Memang malu sebenarnya, tetapi saya mahu memastikan mereka dapat turut serta dalam aktiviti bersama rakan sekelas,” katanya. - Agensi