Bapa, dua lagi maut ditembak anak sendiri

Astro Awani
Januari 15, 2023 08:00 MYT
Insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kes domestik terpencil di kawasan kejiranan Brooklyn. - Foto Twitter/News 5 Cleveland
OHIO: Seorang lelaki bertindak menembak mati bapa, adik perempuan serta anak saudara lelaki dalam kejadian pada Jumaat malam di Cleveland, Amerika Syarikat (AS).
Menurut polis, kejadian itu turut mencederakan seorang lagi lelaki dewasa serta kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Ketua Polis Cleveland, Wayne Drummond berkata insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kes domestik terpencil di kawasan kejiranan Brooklyn, beberapa kilometer di barat daya pusat bandar.
Jelasnya suspek berusia 41 tahun menahan kereta polis yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut bagi memberitahu tentang kejadian.
Suspek telah pun ditahan pihak polis, menurut laporan media tempatan News 5 Cleveland.
"Anggota polis yang dikerah ke lokasi kejadian menemui lima individu telah ditembak dan tiga daripada mereka maut manakala dua lagi cedera," katanya.
Kanak-kanak tersebut serta bapanya berusia 48 tahun dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Miguel Gonzalez, 69 tahun, Angelic Gonzalez, 34 tahun, dan anaknya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan.
Motif tembakan sedang dalam siasatan.
#tembakan #kes domestik #rumah #Wayne Drummond
;