Bapa ditahan polis selepas bunuh anak yang didakwa homoseksual
Agensi
April 3, 2016 16:30 MYT
April 3, 2016 16:30 MYT
SEORANG lelaki berusia 69 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat telah didakwa atas tuduhan membunuh anaknya yang dipercayai seorang homoseksual.
Lelaki tersebut, Shehada Issa ditahan pada Sabtu selepas polis menyerbu kediamannya dan menemui mayat anaknya, Amir Issa, 29. Turut ditemui adalah isteri Shehada, lapor akhbar Los Angeles Times hari ini.
Pejabat peguam daerah Los Angeles County memberitahu bahawa sebelum ini Shehada pernah mengancam untuk membunuh anaknya.
"Pembunuhan itu dilakukan kerana orientasi seksual mangsa dan kerana persepsi defendan terhadap status itu dan mangsa," kata pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Shehada yang dituduh menggunakan senapang patah dalam pembunuhan itu telah didakwa melakukan satu pembunuhan terancang pada Jumaat.
Jika sabit kesalahan, Shehada boleh dipenjara seumur hidup tanpa parol.
Laporan awal mendapati, Shehada memberitahu polis bahawa dia tidak membunuh isterinya tetapi isterinya ditemui mati di bilik air rumah mereka.
Shehada turut memberitahu bahawa dia mencapai senapang apabila melihat keadaan isterinya dan kemudian mendapati anaknya sedang mengugut dirinya dengan pisau sebelum bertindak melepaskan tembakan.
Polis menemui mayat anak lelakinya di belakang rumah mereka dan dalam pemeriksaan polis tiada pisau yang ditemui dilokasi kejadian.
Shehada ditahan polis tanpa jaminan dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 12 April.