Bapa dipulau anak selepas bertukar jadi 'naga'
Sinar Harian
Februari 2, 2023 09:50 MYT
Februari 2, 2023 09:50 MYT
AUSTIN: Seorang lelaki berusia lewat 40-an dipulaukan anak lelakinya selepas mengubah dirinya menjadi 'naga' tanpa jantina.
Richard Hernandez yang kini dikenali sebagai Medusa bersempena watak mitologi Yunani itu berkata, dia sudah tidak mahu mengikut resam dunia korporat.
"Sebelum menjalani kehidupan sebagai manusia pelik, saya sudah ada 79 tindikan, kebanyakannya tersorok," jelasnya dalam satu temubual bersama YouTuber, Anthony Padilla.
Bekas pegawai bank dari Texas, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, dia ingin menambah lebih banyak tindikan yang kemudian menyebabkan dia tidak sesuai berada dalam dunia kewangan sebelum meneruskan 'cita-cita' menjadi naga.
Sejak itu, Medusa telah mencacah tatu di wajahnya, membelah lidah serta memasukkan implan tanduk di dahi yang berharga kira-kira AS$80,000 (RM341,280).
Namun harga yang lebih mahal perlu dibayar Medusa apabila dia dipulaukan anak lelakinya yang tidak menerima 'modifikasi' tubuh ayahnya itu.
"Hubungan dengan anak lelaki saya sudah berubah," katanya.
Difahamkan, anaknya berusia 16 tahun ketika Medusa memulakan projek menjadi 'naga'.
Mereka sudah tidak bertemu selama tujuh tahun.
Katanya, dia ingin membuktikan kepada orang lain mereka boleh berjaya dan menjadi tidak konvensional dalam masa yang sama. - Sinar Harian/Agensi