Bapa bunuh anak sendiri akibat kesempitan hidup
Asyraf Roslan
Februari 24, 2019 12:06 MYT
Februari 24, 2019 12:06 MYT
Ekoran masalah kewangan, seorang lelaki didakwa hilang pertimbangan dan mencekik anak lelakinya yang berusia enam tahun.
Menurut polis, kejadian tersebut berlaku di rumah sewanya di Rohini, Delhi, India, pada Sabtu.
Vinod, 46, pernah bekerja sebagai pengedar produk tenusu sebelum kehilangan kerja setelah kedai tersebut ditutup.
Lebih menyayat hati, isterinya meninggal dunia akibat kanser pada 2017.
Pada pagi Sabtu, dia berjumpa tuan rumah yang tinggal di tingkat bawah rumah sewanya dan memberitahu dia telah membunuh anak lelakinya kerana tidak dapat memenuhi perbelanjaan akibat kekangan kewangan.
Selepas memaklumkan perkara itu, dia terus bergegas ke biliknya di tingkat dua dan mengunci dirinya.
Tuan rumahnya pula memberitahu jiran sebelum membuat laporan polis pada jam 11.10 pagi.
Memetik portal Times Of India, Vinod memberitahu dia membunuh anaknya kerana kehilangan kerja dan tidak lagi dapat menjaga keperluan anaknya.
“Kami sedang meneliti sama ada dia membunuh anaknya kerana tidak dapat menahan emosi atau sudah merancang pembunuhan itu.
"Kami juga dimaklumkan bahawa tertuduh dilanda bebanan hutang,” kata polis.