Bapa bunuh 5 anak untuk kuasai ilmu hitam
AFP
Januari 10, 2015 16:47 MYT
Januari 10, 2015 16:47 MYT
Seorang lelaki warga Pakistan sedang diburu polis selepas dipercayai membunuh lima daripada enam anaknya dengan harapan beroleh kuasa ajaib termasuk kesaktian, kata polis pada Jumaat.
Ali Nawaz Leghari, 40, mencekik dua anak perempuan dan tiga anak lelakinya, berusia di antara tiga dan 13 pada Khamis malam di kampung Saeed Khan, kira-kira 230 kilometer di utara kota Karachi.
"Suspek belajar ilmu hitam dan korban yang dilakukan ini dipercayai bagi memantapkan lagi ilmu yang dipelajarinya," kata pegawai polis Qamaruddin Rahimo kepada AFP.
Ketua Polis Daerah, Amjad Sheikh mengesahkan kejadian dan menambah Leghari telah melakukan ritual rohani selama 40 hari yang dikenali sebagai 'Chilla' sebagai syarat untuk menguasai ilmu hitam.
Rahimo berkata Leghari pada Selasa cuba membunuh seluruh keluarganya dengan meletak racun ke dalam sajian makan malam di rumah mereka, namun disedari isterinya.
Pasangan itu bertengkar dan isteri suspek keluar dari rumah membawa bersama anak sulung mereka untuk tinggal dengan ibu bapanya.
Sejurus kemudian, Leghari pantas melaksanakan rancangan jahat dengan memberikan sedatif kepada lima anaknya yang tinggal dan menggunakan tali untuk mencekik mereka, kata Rahimo merujuk kepada seutas tali yang ditemui di tempat kejadian.
"Dia mencekik mangsa satu demi satu di dalam bilik dan kemudian membuang mereka di atas katil di halaman," katanya sambil menambah bahawa polis sedang memburu Leghari.
Amalan ilmu hitam berakar umbi dalam tradisi mistik Sufi dan masih diamalkan di luar bandar di negara ini termasuk di wilayah Sindh yang miskin di mana pembunuhan ini berlaku.