Bapa bimbang COVID-19, anak ditinggal di rumah maut jatuh tingkat 15
Agensi
Februari 22, 2020 13:00 MYT
Februari 22, 2020 13:00 MYT
SEORANG kanak-kanak berusia 4 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 15 di rumahnya di Hong Kong, selepas dikatakan ditinggal di rumah oleh bapanya yang bimbang ancaman COVID-19.
Menurut laporan South China Morning Post, unit perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke blok pangsapuri Butterfly Estate di daerah Tuen Mun, Hong Kong selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.
"Pengawal keselamatan menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri," kata jurucakap polis seperti yang dipetik oleh akhbar itu.
Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuen Mun untuk rawatan tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Bapa kanak-kanak itu yang berusia 33 tahun disyaki meninggalkan anak-anaknya sendirian di rumah untuk membeli makanan kerana bimbang jangkitan COVID-19.