Bantulah kami, kami juga nak sambung belajar di universiti - Pemuda Afghanistan
Syafik Shukri Jalil
Mac 6, 2022 17:27 MYT
Mac 6, 2022 17:27 MYT
KABUL: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Begitulah peribahasa yang sesuai menggambarkan kesukaran hidup yang didepani warga Afghanistan ketika ini.
Bukan sahaja hilang pekerjaan dan pendapatan tetap, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa mereka ketika ini memang banyak bergantung kepada sumbangan komuniti dunia untuk meneruskan kehidupan.
Dunia sedia maklum bahawa krisis kemanusiaan di negara itu semakin mencengkam lebih-lebih lagi apabil Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan kepada kerajaan Taliban, tahun lalu.
Situasi itu menyebabkan ekonomi mereka lumpuh dengan kadar pengangguran dan kemiskinan terus meningkat saban hari.
Semasa berada di Afghanistan, Astro AWANI sempat mengikuti program agihan bantuan daripada Global Peace Mission (GPM) menerusi misi kemanusiaan Malaysia kepada Afghanistan di Nangarhar.
Kami berkesempatan bertemu dengan 150 penerima bantuan itu.
Salah seorang daripada mereka ialah Mohammad Sulaiman yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris berusia 18 tahun.
Keramahan dan sikap terbuka untuk berkongsi membuatkan kami asyik berbual mendengar kisahnya.
Cita-cita yang tertunda
Sulaiman yang menetap bersama kedua ibu dan bapa serta lima adik beradiknya yang lain membuka kisahnya dengan memberitahu; “Saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris”.
Di saat itu, kami mengambil kesempatan mendalami kisahnya memandangkan sukar untuk bertemu penduduk tempatan yang terbuka berkongsikan cerita kehidupan mereka.
Ketika ditanya, Sulaiman berkata, dia sudah menamatkan pengajiannya di peringkat menengah dan bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat universiti dalam bidang sains komputer.
Diiringi nafas yang sedikit tersekat-sekat, Sulaiman yang menahan sebak berkata, dia harus melupakan hasrat dan cita-cita itu buat masa ini memandangkan hidup keluarganya yang susah dan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
“Saya tidak ada akses untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti kerana kami sekeluarga hidup dalam kemiskinan.
“Sudah tentu saya perlukan wang yang cukup sekiranya ingin menunaikan cita-cita ini.
“Bukan saya sahaja, malah ramai anak-anak muda di Afghanistan berdepan masalah sama. Mereka tidak punya akses kepada pendidikan kerana dibelenggu kemiskinan,” katanya.
Tambahnya, besar harapan dan cita-citanya agar kerajaan yang ada ketika ini mendapat pengiktirafan dunia sekali gus mampu berfungsi dan berkhidmat kepada rakyatnya.
Bersandar harapan
Malah, Sulaiman juga berharap sekiranya keadaan sudah stabil, kerajaan interim pimpinan Taliban ini mampu untuk menyediakan pakej biasiswa yang bersesuaian dengan keperluan bagi mengukuhkan sektor pendidikan di negara itu.
“Biasiswa ini penting bagi anak muda menyambung pengajian kerana golongan ini merupakan tulang belakang negara.
“Jadi kerajaan harus menyediakan keperluan ini dan selalu berhubung dengan rakyat yang memerlukan.
“Satu hari nanti, saya yakin kerajaan ini boleh bertambah baik dan terus stabil kerana mereka kini sudah menguasai Afghanistan semula,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, anak muda ini juga berharap komuniti dunia dapat memahami realiti sebenar rakyat Afghanistan dan terus membantu membangunkan semula negara itu.
“Ketika ini memang rakyat berada dalam keadaan miskin di sini, dan sangat memerlukan perhatian dan sokongan dunia.
“Kita sudah banyak kehilangan nyawa terutamanya askar di medan perang dan saya sangat berharap keadaan seperti ketika ini akan terus kekal aman dan selamat,” katanya.
Di saat mengakhiri perbualan, Sulaiman juga tidak henti-henti mengucapkan terima kasih dan rasa syukur atas bantuan kemanusiaan dari rakyat Malaysia yang disumbangkan menerusi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negara itu.