Bantuan EU untuk Ukraine cecah AS$89.8 bilion

Bernama
Oktober 2, 2023 12:00 MYT
Borrell tiba ke Odesa pada Sabtu dan Kiev pada Ahad dan bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy. - Foto REUTERS
MOSCOW: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell pada Ahad berkata kesatuan itu memperuntukkan 85 bilion euro (AS$89.8 bilion) sebagai sokongannya kepada Ukraine, dengan lebih 25 bilion euro disediakan dalam bentuk bantuan ketenteraan, lapor Sputnik.
"Sokongan ketenteraan kami kepada Ukraine telah mencecah angka 25 bilion euro. Kesemuanya (bantuan) untuk tentera, awam, kemanusiaan, mencecah 85 bilion euro ... jumlah tertinggi di dunia," kata Borrell dalam sidang akhbar di Kiev.
Borrell tiba ke Odesa pada Sabtu dan Kiev pada Ahad dan bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Menteri Luar Dmytro Kuleba dan Menteri Pertahanan yang baharu Rustem Umerov.
Moscow mengutuk bekalan tentera asing ke Ukraine. Pada April 2022, Rusia menghantar nota diplomatik kepada semua negara NATO mengenai isu bekalan senjata ke Ukraine.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov memberi amaran bahawa mana-mana kargo yang mengandungi senjata untuk Ukraine, akan menjadi sasaran serangan Rusia.
-- BERNAMA
#bantuan #EU #Josep Borrell #Volodymyr Zelenskyy
;