Bantuan dipergiat di timur Libya

Sinar Harian
September 19, 2023 09:20 MYT
Banjir kilat yang digambarkan seperti gelombang tsunami itu menyebabkan kemusnahan dahsyat di timur Libya. - Foto AP
DERNA: Bantuan kemanusiaan untuk mangsa terjejas banjir kilat yang digambarkan seperti gelombang tsunami mula dipercepatkan di Libya pada akhir minggu lalu.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiatkan di bandar Derna yang kini diselaputi lumpur tebal dan menyaksikan kemusnahan teruk.
Kira-kira 30,000 mangsa yang masih trauma dan kehilangan tempat tinggal amat memerlukan bekalan asas seperti air bersih, makanan serta tempat berlindung sementara, di tengah-tengah risiko penyakit termasuk kolera dan malnutrisi yang semakin meningkat.
Media tempatan melaporkan kira-kira 55 kanak-kanak mengalami keracunan kerana terminum air tercemar.
“Setiap keluarga di bandar ini terkesan bencana itu,” kata penduduk, Mohammad al-Dawali yang mengimbau semula detik hitam tersebut ketika gelombang banjir luar biasa melanda Derna dan menjadikan bandar berkenaan seperti lautan setelah empangan utama pecah.
Difahamkan, angka kematian sebenar tidak diketahui walaupun pemerintah merekodkan lebih 3,280 kematian di Derna.
Setakat ini pasukan tindak balas kecemasan dan agensi bantuan telah dihantar dari Perancis, Greece, Iran, Rusia, Arab Saudi, Tunisia, Turkiye serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Staf Persatuan Palang Merah UAE mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa
terjejas banjir.
Staf Persatuan Palang Merah UAE mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa terjejas banjir.
PBB turut merayu dana bantuan berjumlah lebih AS$71 juta (RM333 juta) untuk meringankan beban negara tersebut yang jelas tiada pelan kecemasan untuk menghadapi situasi seperti itu.
NAFI ANGKA KEMATIAN DIUMUM PBB
Kira-kira tujuh hari selepas bencana itu, mayat dilaporkan masih bergelimpangan di tepi pantai bersama sisa sampah sarap dihanyutkan banjir kilat.
Jurucakap tentera, Hamza al-Khafifi berkata, kebanyakan mayat termasuk wanita dan kanak-kanak ditemui tersekat di celah-celah batu.
“Pasukan penyelamat turut menemui kira-kira 600 mayat di perairan luar wilayah Om-al-Briket yang terletak kira-kira 20 kilometer dari timur Derna”, katanya.
Sementara itu, Persatuan Palang Merah Libya menafikan angka korban mencecah 11,300 orang seperti diumumkan PBB.
“Kami terkejut dengan data tersebut. Pengumuman berdasarkan maklumat tidak rasmi itu hanya mencetuskan kekeliruan dan tekanan kepada keluarga yang terkesan,” ujar jurucakapnya, Tawfik Shoukri sambil menambah, jumlah kematian yang dicatatkan pemerintah adalah jauh lebih rendah iaitu lebih 3,280 orang setakat ini.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) juga mendakwa kira-kira 10,100 mangsa lagi dilaporkan masih hilang di bandar timur Libya tersebut.
“Jumlah kematian dijangka meningkat kerana operasi SAR masih berjalan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Pada masa ini, penduduk sekitar bukan hanya berdepan krisis pasca banjir, malah ancaman periuk api yang ditanam secara meluas ketika konflik bersenjata berlarutan selama bertahun-tahun. - Sinar Harian memetik agensi
#banjir kilat #SAR #Kemusnahan #tsunami
;