Bantahan pelajar pro-Palestin: Universiti Copenhagen akur, lepas 3 syarikat beroperasi di Tebing Barat
Bernama
Mei 29, 2024 19:50 MYT
Mei 29, 2024 19:50 MYT
PRAGUE: Universiti Copenhagen mengumumkan pada Selasa ia akan melepaskan tiga entiti komersial yang beroperasi di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Universiti Copenhagen akan melepaskan tiga entiti komersial yang beroperasi di Tebing Barat yang diduduki mulai 29 Mei, melibatkan pelaburan dalam Airbnb, Booking.com, dan eDreams ODIGEO bernilai sekitar DKK 1 juta ($1.08 juta).
- Keputusan ini adalah selaras dengan strategi pengurusan risiko kewangan dan dasar pelaburan beretika universiti, serta refleksi berdasarkan perbualan dengan pelajar dan kakitangan mengenai konflik IsraelPalestin.
- Tindakan ini diambil setelah bantahan ratusan pelajar proPalestin yang berkhemah di kampus, menuntut universiti memutuskan hubungan dengan entiti yang terlibat dalam pendudukan Tebing Barat dan mengutuk serangan Israel ke atas Gaza.
"Mulai esok (29 Mei) KU tidak lagi akan mempunyai pelaburan dalam dana yang mempunyai Airbnb, Booking.com dan syarikat pelancongan dalam talian eDreams ODIGEO dalam portfolio mereka," katanya dalam satu kenyataan di platform X. "Terdapat pelaburan dalam ketiga-tiga syarikat itu dengan jumlah sekitar DKK 1 juta. ($1.08 juta)."
Ia berkata keputusan itu selaras dengan strategi lembaga pengarah bagi pengurusan risiko kewangan dan dasar pelaburan beretika.
"Di samping itu, keputusan berkenaan sejajar dengan refleksi yang telah dibuat oleh rektorat berdasarkan perbualan dengan pelajar dan kakitangan berkaitan dengan konflik di Israel dan Palestin," katanya.
Keputusan itu dibuat berikutan bantahan ratusan pelajar pro-Palestin yang berkhemah di kampus utama universiti berkenaan di bawah kolektif, Pelajar Menentang Pendudukan, sejak awal Mei lepas.
Satu tuntutan utama penunjuk perasaan adalah universiti melepaskan diri daripada entiti komersial yang dikaitkan dengan pendudukan Tebing Barat sambil mendesak pentadbiran universiti untuk mengisytiharkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sebagai genosid.
"Universiti Copenhagen harus mengiktiraf pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza dan menuntut gencatan senjata segera dan menamatkan segera pengepungan di Gaza.
"Kami menuntut mereka menamatkan sebarang atau semua perjanjian pembelian dengan syarikat-syarikat yang membekalkan tentera Israel atau sebaliknya terlibat dalam pendudukan Palestin," kata Emil, wakil kolektif, kepada Anadolu. "Dan kami juga menuntut mereka memutuskan semua hubungan dengan institusi akademik Israel."
-- BERNAMA
#kekejaman israel
#bantahan pelajar
#Universiti Copenhagen
#penduduk Palestin
#syarikat ada kepentingan israel