Bantahan memuncak, menteri Kabinet Sri Lanka tawar letak jawatan

Bernama
April 4, 2022 12:14 MYT
Perintah berkurung 36 jam berkuat kuasa di negara itu pada petang Sabtu dan ditarik balik awal Isnin. - Gambar fail/AP
COLOMBO: Menteri-menteri Kabinet Sri Lanka pada Ahad menawarkan untuk meletak jawatan ekoran peningkatan protes di tengah ketidakstabilan ekonomi dan kekurangan bahan api yang meruncing.
Menurut Xinhua, semua menteri Kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan sekali gus membuka laluan untuk membentuk Kabinet baharu, susulan perbincangan yang diadakan dengan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa pada petang Ahad.
Bagaimanapun, Rajapaksa dan para menteri akan meneruskan tugas seperti biasa.
Rajapaksa dijangka mengeluarkan kenyataan khas pada Isnin dan mempelawa parti-parti politik untuk bersama-sama membentuk kerajaan baharu.
Sejak beberapa hari Sri Lanka menyaksikan bantahan yang menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang terputus selama berjam-jam dan kekurangan bahan api atau meletak jawatan.
Sri Lanka juga mengalami kekurangan bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan mata wang asing mengakibatkan beberapa sektor terjejas.
Perintah berkurung 36 jam berkuat kuasa pada petang Sabtu dan ditarik balik awal Isnin dalam usaha memastikan undang-undang dan ketenteraman di negara itu, kata polis.
-- BERNAMA
#Sri Lanka #perintah berkurung #letak jawatan #Mahinda Rajapaksa
;