Bantahan krisis ekonomi, Sri Lanka laksana perintah berkurung di ibu negara
Bernama
April 1, 2022 13:57 MYT
April 1, 2022 13:57 MYT
ANKARA: Sri Lanka mengenakan perintah berkurung di ibu negara Colombo selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman peribadi Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Beratus-ratus orang berkumpul berhampiran kediaman Rajapaksa pada siang hari untuk membantah krisis ekonomi negara, yang turut mengakibatkan bekalan elektrik diputuskan selama 13 jam.
Ketua Polis Negara C.D. Wickramaratne dalam satu kenyataan Khamis malam berkata perintah berkurung akan berlangsung "sehingga diberitahu" di beberapa kawasan di Colombo, lapor agensi Anadolu.
Penunjuk perasaan, yang terdedah kepada gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis, melaungkan "Go home Gota!" dan "Gota ialah seorang diktator".
Sri Lanka, perlu membayar balik pinjaman domestik dan asing yang dianggarkan berjumlah AS$7.3 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, hanya memiliki rizab sebanyak AS$2.31 bilion setakat Februari dan mungkin menjadi muflis.
Penunjuk perasaan mendakwa amalan tidak wajar pentadbiran Rajapaksa menyebabkan rizab pertukaran asing negara itu susut dengan cepat, memberi kesan teruk kepada import penting dan menyebabkan kenaikan harga makanan ruji dan kekurangan barangan keperluan seperti gas memasak dan bahan api.
Meskipun kerajaan mengisytiharkan darurat untuk membendung harga barang keperluan yang melambung tinggi akibat penimbunan stok, sebahagian besar langkah itu tidak berjaya.
-- BERNAMA