Bantah Ahok: Kemarahan apakah bakal ditunjukkan di Jakarta esok?
Bernama
November 3, 2016 19:10 MYT
November 3, 2016 19:10 MYT
Lebih 100,000 orang Islam dari merata pelosok Indonesia dijangka berhimpun di bandar raya ini dan menyertai demonstrasi 'membantah Ahok', Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja (Cahaya) Purnama yang dikatakan telah menghina Islam.
Umat Islam republik itu mahu Gabenor Jakarta yang lebih dikenali dengan nama Ahok dikenakan tindakan undang-undang ekoran kenyataannya mempertikaikan Surah Al-Maidah ketika berkempen di Pulau Seribu bulan lepas.
Setelah tiga kali Jumaat berturut-turut umat Islam bersatu mengadakan demonstrasi secara berasingan di serata Indonesia, esok mereka bergabung mengadakan protes besar-besaran dengan tema 'Aksi Bela Islam' bertujuan meminta polis menyiasat Ahok atas dakwaan menghina Islam.
Apa yang diucapkan Ahok?
Ahok, yang sebelum ini adalah Timbalan Gabenor Jakarta yang memenangi Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) lima tahun lepas, adalah satu-satunya calon Gabenor dari keturunan Tionghua dan bukan beragama Islam di Indonesia.
Ahok kemudiannya dilantik sebagai Gabenor pada 2014 apabila Joko Widodo atau lebih dikenali sebagi Jokowi melepaskan jawatannya untuk bertanding sebagai Presiden.
Pada Pilkada Februari 2017 ini, Ahok yang akan mempertahankan jawatannya sebagai Gabenor, bertanding atas sokongan parti PDI-P pimpinan bekas presiden Megawati Soekarnoputri, Golkar dan Nasdem.
Beliau akan dicabar oleh dua pasangan yang bertanding atas dua lagi gabungan parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni.
Agus adalah anak lelaki sulung mantan presiden Indonesia Susilo Bambang Yodhoyono manakala Anies adalah bekas menteri pendidikan yang baharu digugurkan dalam kabinet Jokowi pada dua bulan lepas.
Kedua-dua pasangan itu diramal memberi saingan sengit kerana jika Ahok proksi pengaruh Megawati, dua lagi pasangan pencabarnya melambangkan kekuatan pengaruh presiden Susilo Bambang Yodhoyono dan bekas calon presiden 2014 Prabowo Subianto.
Kemungkinan tertekan untuk mendapat undi dari kalangan umat Islam, Ahok dalam kempennya ketika bertemu pengundi di Pulau Seribu bulan lepas dilaporkan meminta umat Islam tidak terpedaya oleh golongan tertentu yang menggunakan ayat al-Quran dalam Surah Al-Maidah yang menyebut umat Islam tidak boleh memilih kalangan bukan Islam untuk menjadi pemimpin mereka.
Kata-kata Ahok itu mengundang kontroversi dan menimbulkan kemarahan umat Islam di Indonesia dan mendakwa Ahok telah menghina Islam apabila mempertikaikan ayat-ayat suci al-Quran.
Cubaan Ahok memancing undi di Pulau Seribu itu ternyata menjejaskan popularitinya sebagai seorang yang kuat bekerja, tegas membanteras rasuah dan berani mengambil tindakan tidak popular seperti merobohkan rumah haram, memindahkan setinggan dan memusnahkan sarang-sarang pelacuran di bandar raya Jakarta.
Walaupun Ahok kemudiannya meminta maaf dan menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk menghina Islam namun ia tetap menjadi isu panas dan badan bukan kerajaan berasaskan Islam termasuk pertubuhan sangat berpengaruh iaitu Muhammadiyah kekal mahu Ahok dikenakan tindakan.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam satu kenyataannya berkata ucapan Ahok sememangnya menyalahi undang-undang kerana dianggap telah menghina Al Quran dan golongan ulama yang membuat penafsiran maksud Surah Al Maidah.
Ketua Umum MUI Ma'ruf Amin berkata ayat dalam surah itu secara jelas melarang umat Islam memilih golongan Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin mereka dan kenyataan Ahok kononnya umat Islam diperdaya dengan ayat itu adalah satu penghinaan terhadap Islam.
Polis menerima beberapa laporan daripada orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai kenyataan Ahok yang disifatkan sebagai penistaan agama.
Kawalan keselamatan
Atas nama hak kebebasan bersuara dan demokrasi, kerajaan mengizinkan demontrasi yang dirancang esok. Pihak polis Indonesia menerima maklumat bahawa lebih 100,000 umat Islam akan berkumpul di ibu kota dan berarak beramai-ramai dari Masjid Istiqal ke Istana Kepresidenan selepas solat Jumaat.
Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian mengarahkan 18,000 anggota pasukan keselamatan untuk mengawal demonstrasi itu dan mengarahkan polis tidak bertindak kasar selagi demontrasi itu berlangsung secara tertib.
Beliau turut meminta peserta demonstrasi bersurai pada pukul 6 petang dan mahu semua pihak mematuhi arahan polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Selain itu, Polis Metro Jaya juga menubuhkan sebuah pasukan khas dikenali sebagai 'Asma Ul Husna', yang mengalunkan zikir bertujuan memujuk peserta demonstrasi supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi.
Presiden Jokowi dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan 30 tokoh agama Islam di istana kelmarin bagi membincang isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau dipetik sebagai berkata bahawa tokoh-tokoh agama sepakat isu keselamatan harus diberi keutamaan dan menggesa peserta perhimpunan agar mengelak provokasi dan bertertib ketika mengadakan demonstrasi itu.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menasihati rakyat Malaysia mengelak dari memasuki Jakarta esok hari atas alasan keselamatan.
Katanya, Kedutaan Besar Malaysia sentiasa memantau perkembangan semasa dan mereka yang terpaksa memasuki Jakarta diminta menghubungi pihak kedutaan terlebih dahulu.
Bagi rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mereka diminta menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing dengan tidak mengunjungi kawasan-kawasan perhimpunan terutamanya di sekitar Monumen Nasional (Monas), Masjid Istiqal, kawasan Balai Kota dan juga Bekasi.
SBY marah
Dalam suasana politik yang tegang itu, terdapat pihak yang menuding jari ke arah Susilo kononnya beliau mendalangi dan menaja demonstrasi esok ekoran anaknya turut bertanding merebut jawatan Gabenor.
Mantan presiden itu berkata selama 10 tahun menjadi Presiden Republik Indonesia, beliau tidak pernah melarang rakyat untuk berdemonstrasi dan tidak pernah menuduh mana-mana individu atau kelompok tertentu menggerakkan massa untuk berdemontrasi.
Katanya tuduhan terhadap dirinya adalah tidak berasas dan ia adalah satu fitnah yang sangat berbahaya.
Tuduhan kononnya rakyat ditaja menganjurkan demonstrasi itu adalah satu penghinaan kerana urusan akidah Islam tidak harus dikaitkan dengan wang malah ramai yang sanggup korbankan jiwa demi mempertahankan akidah.
"Pak Ahok yang harus diproses hukum. Jangan sampai beliau dianggap kebal hukum, dan setelah Pak Ahok diproses secara hukum semua pihak hendaklah menghormati," katanya.
Tujuh wilayah di Indonesia termasuk daerah Khusus Ibukota Jakarta akan menjalani Pilkada serentak pada Februari 2017 tetapi Pilkada Jakarta disifatkan paling panas dalam sejarah Indonesia apabila terdapat pihak yang membangkitkan isu ras dan agama.
Sebanyak lebih 7.4 juta warga ibu kota Jakarta layak mengundi untuk memilih Gabenor dan timbalannya pada Pilkada itu.
-- BERNAMA