Bank pusat Thailand naikkan kadar dasar utama untuk bendung inflasi

Bernama
September 28, 2022 06:30 MYT
Didorong oleh lonjakan harga tenaga dan makanan, indeks harga pengguna Thailand, pengukur utama inflasi, meningkat 7.86 peratus tahun ke tahun pada Ogos. - Gambar hiasan
BANGKOK: Bank pusat Thailand pada Rabu menaikkan kadar dasar utamanya sebanyak 0.25 mata peratusan, dalam usaha membendung peningkatan inflasi serta menyokong pemulihan ekonomi, kenaikan kali kedua berturut-turut, lapor Xinhua.
Jawatankuasa monetari Bank of Thailand (BOT) mengundi sebulat suara untuk menaikkan kadar dasar daripada 0.75 peratus kepada satu peratus, berkuatkuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas kenaikan kadar 0.25 mata peratusan diumumkan pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada 10 Ogos, kenaikan kadar pertama negara itu sejak lewat 2018.
Dalam kenyataan pada Rabu, jawatankuasa itu berkata "dasar normalisai secara beransur-ansur itu kekal sebagai dasar monetari yang sesuai" dengan pemulihan ekonomi terus mengukuh susulan kemasukan pelancong asing yang lebih ramai daripada jangkaan, manakala inflasi keseluruhan kekal pada paras yang tinggi.
"Walaupun risiko kelembapan global meningkat, impak ke atas ekonomi Thailand adalah terhad," katanya sambil memberi amaran mengenai impak kenaikan kos sara hidup ke atas penggunaan swasta.
BOT mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonominya pada 3.3 peratus bagi 2022, namun menurunkan unjuran pertumbuhannya untuk 2023 kepada 3.8 peratus berbanding 4.2 peratus yang diumumkan pada Jun.
Bank pusat itu berkata unjuran inflasi itu masih tertakluk kepada risiko menaik. Ia menjangkakan pertumbuhan inflasi berada pada 6.3 peratus tahun ini, meningkat daripada unjuran 6.2 peratus yang dibuat pada Jun, sebelum menyusut kepada 2.6 peratus pada 2023.
Didorong oleh lonjakan harga tenaga dan makanan, indeks harga pengguna Thailand, pengukur utama inflasi, meningkat 7.86 peratus tahun ke tahun pada Ogos, paras tertinggi sejak Julai 2008, jauh melebihi julat sasaran bank pusat pada 1-3 peratus yang diunjurkan untuk tahun ini.
-- BERNAMA
#pemulihan ekonomi Thailand #Bank of Thailand #kenaikan kadar dasar utama #Inflasi
;