Bank of England umum reka bentuk baharu wang kertas
Bernama
Disember 20, 2022 20:08 MYT
Disember 20, 2022 20:08 MYT
LONDON: Bank of England mengumumkan reka bentuk wang kertas baharu yang memaparkan wajah Raja Charles III menjelang pengedarannya pada pertengahan 2024.
Menurut bank itu, potret baginda akan menjadi perubahan tunggal pada reka bentuk wang kertas plastik polimer 5, 10, 20 dan 50 paun sedia ada, lapor Deutsche Presse-Agentur (dpa).
Imej Raja Charles akan menghiasi bahagian hadapan wang kertas serta dalam tetingkap keselamatan tembus pandang.
Bagaimanapun, bank itu mengesahkan semua wang kertas plastik sedia ada yang menampilkan Ratu Elizabeth II masih diterima sebagai wang sah dan orang ramai boleh terus menggunakannya seperti biasa.
Selaras dengan panduan daripada keluarga diraja untuk memastikan impak perubahan itu kepada alam sekitar dan kewangan pada tahap minimum, bank hanya akan mencetak wang kertas baharu untuk menggantikan wang kertas yang rosak dan apabila perlu menambah wang dalam edaran.
Ini bermakna wang kertas yang menampilkan Ratu Elizabeth II dan Raja Charles III akan sama-sama berada dalam pasaran.
Gabenor bank Andrew Bailey berkata: "Saya amat berbangga bank itu dapat mengeluarkan reka bentuk wang kertas baharu yang memaparkan potret Raja Charles III. Ini merupakan detik penting memandangkan baginda merupakan Raja kedua yang dipaparkan pada wang kertas.
Orang ramai akan dapat menggunakan wang kertas baharu ini apabila ia mula memasuki edaran pada 2024."
Syiling lima puluh pence yang memaparkan imej Raja Charles III memasuki edaran bulan ini dengan 4.9 juta syiling diedarkan di 9,452 cawangan Pejabat Pos di seluruh negara.
-- BERNAMA