Bank of England dijangka kekalkan kadar asas selepas inflasi meningkat

Bernama
Disember 15, 2024 06:00 MYT
Peningkatan inflasi telah dijangka ekoran kenaikan bil tenaga, tetapi kenaikan itu lebih akut daripada ramalan kebanyakan pihak. - Gambar AP
LONDON: Bank of England dijangka mengekalkan kadar faedah semasa dalam keputusan dasar seterusnya pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penggubal dasar akan mengumumkan keputusan mesyuarat mereka pada 19 Disember, di mana kebanyakan penganalisis menjangkakan mereka akan mengundi untuk mengekalkan kadar faedah asas United Kingdom (UK) pada 4.75 peratus.
Kadar asas ini mempengaruhi kadar pinjaman dan gadai janji yang dikenakan oleh bank dan ia kekal tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengekang inflasi yang melampau.
Inflasi sebelum ini menurun di bawah sasaran 2 peratus bank itu pada awal tahun ini, mendorong bank pusat itu untuk menurunkan kadar faedah pada Ogos dan November.
Namun, bulan lepas angka rasmi menunjukkan inflasi meningkat semula kepada 2.3 peratus pada Oktober, lonjakan tertinggi dalam tempoh dua tahun.
Peningkatan inflasi itu telah dijangka ekoran kenaikan bil tenaga, tetapi kenaikan itu lebih akut daripada ramalan kebanyakan pihak.
Keadaan ini menjejaskan harapan yang tinggal bahawa penggubal dasar mungkin mengundi untuk satu lagi pengurangan kadar faedah tahun ini.
Penganalisis Michael Hewson berkata peningkatan itu adalah "peringatan yang tidak selesa bahawa inflasi UK cenderung lebih sukar diturunkan berbanding jangkaan."
Bank pusat itu juga dijangka bersikap berhati-hati selepas Kerajaan Parti Buruh menaikkan cukai perniagaan dalam Belanjawan Oktober.
Menteri Kewangan, Rachel Reeves menaikkan sumbangan perniagaan terhadap caruman insurans nasional (NIC) dalam pernyataan perbelanjaan itu.
Peningkatan cukai ini bertujuan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan seperti pengangkutan awam dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), tetapi sesetengah pakar memberi amaran ia boleh mencetuskan inflasi.
Gabenor Bank of England, Andrew Bailey pada awal Disember berkata, kesan peningkatan NIC terhadap ekonomi masih belum jelas, tetapi ia merupakan "isu terbesar" selepas belanjawan.
Bailey secara konsisten menyatakan bank itu akan mengambil pendekatan beransur-ansur untuk mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat-mesyuarat terdahulu.
Salah daripada faktor rumit bagi penggubal dasar ialah penurunan kecil dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK), ukuran utama pertumbuhan ekonomi, pada Oktober.
Kadar faedah yang lebih tinggi cenderung menghalang KDNK, menyebabkan penguncupan yang mungkin mendorong sebahagian daripada sembilan Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank untuk menyokong pemotongan kadar pada Disember.
Namun, ahli ekonomi berkata, penguncupan dalam KDNK Oktober adalah disebabkan oleh pendekatan tunggu dan lihat oleh orang ramai sebelum keputusan dasar Belanjawan pada penghujung bulan dan pertumbuhan dijangka kembali pulih.
Thomas Pugh, ahli ekonomi di firma perunding RSM berkata adalah tidak mungkin jawatankuasa akan membuat sebarang perubahan pada pendekatan beransur-ansur mereka.
"Akhirnya, ini bermakna pemegang gadai janji tidak akan menerima 'hadiah Krismas' awal daripada Bank of England tahun ini," katanya.
"Kami menjangkakan empat pemotongan kadar pada 2025, menjadikan kadar faedah berakhir pada sekitar 3.75 peratus, tetapi risiko lebih cenderung kepada pemotongan yang lebih sedikit." - BERNAMA
#Bank of England #kadar faedah #Inflasi #kenaikan bil tenaga #ekonomi global
;