Bank Dunia sediakan pembiayaan tingkatkan ketahanan iklim Bangladesh
Bernama
Disember 23, 2024 04:00 MYT
Disember 23, 2024 04:00 MYT
DHAKA: Kerajaan Bangladesh dan Bank Dunia menandatangani dua perjanjian pembiayaan berjumlah US$900 juta untuk membantu negara itu mencapai kemampanan alam sekitar dan ketahanan iklim, termasuk dalam infrastruktur bandar dan pertumbuhan inklusif, lapor Xinhua.
Perjanjian pertama bernilai US$500 juta, iaitu "Kredit Pembangunan Hijau dan Ketahanan Iklim Bangladesh Kedua", bertujuan menyokong dasar bagi membantu peralihan Bangladesh ke arah pembangunan hijau dan ketahanan iklim, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.
Pembiayaan itu turut menyokong dasar untuk mengurangkan pencemaran udara, meningkatkan penguatkuasaan isu alam sekitar, memperluas akses ke pasaran karbon, memperbaiki perkhidmatan air dan sanitasi mampan, meningkatkan keberkesanan Pelan Delta Bangladesh 2100 serta memajukan persekitaran yang tahan iklim dan mampan.
Projek kedua, "Projek Pembangunan Bandar dan Wilayah Tahan Iklim", bertujuan memperbaiki infrastruktur bandar yang tahan iklim dan peka gender serta meningkatkan keupayaan pengurusan bandar di tujuh kelompok bandar sepanjang koridor ekonomi sejauh lebih 950 kilometer dari Cox's Bazar di selatan hingga Panchagarh di utara Bangladesh.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 17 juta penduduk yang tinggal di kawasan bandar terpilih, menurut kenyataan media berkenaan.
-- BERNAMA