Bank Dunia ikrar bantu pulih ekonomi Myanmar

Astro Awani
Februari 6, 2013 16:32 MYT
Bank Dunia berikrar membantu Myanmar mendapatkan akses yang pantas untuk mencergaskan semula dan sama-sama menyokong reformasi ekonomi negara itu.
Badan kewangan berpangkalan di Washington itu kini sedang agresif bekerjasama rapat dengan sekutunya untuk melunaskan tunggakan negara itu.
Dalam lawatan tiga harinya ke Myanmar, wakil Bank Dunia berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk meningkatkan perkhidmatan awam, sektor kewangan dan perbankannya yang masih kuno serta mencipta peluang bagi sektor swasta.
Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia bertanggungjawab menguruskan hutang Myanmar yang berjumlah AS$900 juta (RM2.8 bilion).
27 Januari lalu, Myanmar menerima pinjaman daripada Jepun untuk pembangunan infrasktur antaranya jalan raya dan pelabuhan.
Badan dunia itu turut berjanji untuk memberi bantuan lanjut berhubung keperluan bekalan tenaga elektrik dan keperluan asas lain.
Namun cabaran paling utama dalam reformasi ekonomi Myanmar ialah membawa masuk lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
Pada 1950an, Myanmar popular dengan jolokan ‘Lombong Beras Asia’ berikutan kekayaan sektor pertaniannya namun kini jatuh miskin ekoran langkah kerajaan yang salah mengurus ekonominya.
#Bank Dunia #bantu #Myanmar
;