Banjir terburuk sejak 2008, Ukraine mohon bantuan EU, NATO

Agensi
Jun 26, 2020 05:35 MYT
Kerajaan Ukraine mengerahkan 1,500 pekerja kecemasan dalam usaha menangani banjir. -Reuters
Ukraine memohon bantuan dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi pembangunan semula kawan yang dilanda banjir di sebelah barat negara itu.
Kementerian Luar Ukraine dalam satu kenyataan berharap EU dan NATO akan membantu melindungi infrastruktur kritikal dan mengurangkan kerosakan ekonomi daripada banjir.
Kerajaan Ukraine juga telah mengerahkan 1,500 pekerja kecemasan dalam usaha menangani banjir.
Menurut pihak berkuasa, kos pembangunan semula dijangka menelan belanja sekitar AS$37 juta bagi membaiki kerosakan akibat banjir, yang terburuk di negara itu sejak 2008.
Dalam pada itu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy melawat kawasan yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sepanjang minggu.
Bencana sehingga kini menyaksikan empat orang terbunuh dan memaksa puluhan ribu yang lain berpindah.
Ia turut menjejaskan lebih 200 bandar dan kampung di empat wilayah barat Ukraine, memutuskan bekalan elektrik untuk kira-kira 10,000 orang dan merosakkan sekitar 430 kilometer jalan raya dan 130 jambatan.
#banjir #Kesatuan Eropah #NATO #Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara #Presiden Ukraine #Ukraine #Volodymyr Zelenskiy
;