Banjir terburuk di Seoul dalam tempoh 80 tahun, sekurang-kurangnya lapan terkorban
Agensi
Ogos 9, 2022 16:17 MYT
Ogos 9, 2022 16:17 MYT
SEOUL: Sekurang-kurangnya lapan orang disahkan maut manakala enam lagi masih hilang di Seoul, Korea Selatan selepas bandar raya itu dilanda ribut dan hujan lebat, disifatkan yang terburuk dalam tempoh 80 tahun.
Bloomberg melaporkan, kesan daripada kejutan cuaca itu, banyak jalan raya dan stesen kereta api bawah tanah yang ditenggelami air, sekali gus menggesa Presiden untuk mengadakan mesyuarat kecemasan.
Ribut itu telah mencurahkan hujan pada takat 141 millimeter air sejam di banyak bahagian di negara itu. Lagi 300 hingga 350 millimeter hujan dijangka melanda sehingga Khamis seterusnya memungkinkan kejadian banjir yang berlanjutan, kata Pusat Pentadbiran Meteorologi.
Presiden Yoon Suk Yeol telah mengadakan sebuah mesyuarat kecemasan di Pusat Kawalan Bencana dan Keselamatan Negara pada Selasa.
"Saya menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan langkah-langkah penuh untuk menangani situasi ini sehingga ia berakhir, demi melindungi nyawa dan harta benda rakyat," ujar beliau.
Pada masa sama, Pejabat Presiden juga menggalakkan syarikat-syarikat dan pejabat kerajaan supaya melaras semula waktu kerja.
Hujan lebat yang bermula Isnin juga mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan pusat bandar raya, termasuk mengubah kawasan parkir kenderaan menjadi seumpama kolam.
Beberapa jalur perkhidmatan kereta api juga dihentikan operasi sementara banyak perniagaan meminta pekerja masing-masing bekerja dari rumah.
Takat bacaan air hujan yang direkodkan adalah yang tertinggi sejak kejadian ribut pada tahun 1942, memetik agensi berita Yonhap.
Sekurang-kurangnya 163 orang kehilangan tempat tinggal dan 751 bangunan ditenggelami bah.
Korea Selatan akan melepaskan air banjir itu pada Rabu dari Empangan Soyang, iaitu empangan terbesar dengan kapasiti 2.9 bilion tan air, buat kali pertama dalam masa dua tahun. Ia menjadi pelepasan ke-17 sejak empangan itu dibina pada tahun 1973.