Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun, New South Wales pindahkan 18,000 penduduk

Agensi
Mac 22, 2021 18:54 MYT
Bot pasukan keselamatan digunakan untuk menghantar petugas perubatan di kawasan yang dinaiki air di New South Wales. - Reuters
NEW SOUTH WALES: Kira-kira 18,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan banjir buruk di New South Wales (NSW), Australia, dengan hujan diramalkan berterusan untuk tempoh beberapa jam.
Semua kawasan pesisiran pantai di negeri itu kini berada di bawah amaran cuaca buruk.
Hujan lebat yang berlarutan menyebabkan paras air sungai dan empangan melimpah di sekitar Sydney dan Queensland.
Anggota tentera dikerahkan untuk membantu mencari dan menyelamatkan mangsa dalam banjir yang disifatkan paling teruk sejak 50 tahun lalu.
Jabatan Meteorologi Australia meramalkan peningkatan hujan, angin kencang dan ombak kuat serta air pasang yang luar biasa di New South Wales pada Selasa.
Perdana Menteri, Scott Morrison telah menawarkan dana untuk mereka yang terjejas.
"Situasi genting belum berakhir dan masih ada risiko," katanya kepada Parlimen, hari ini.
#banjir #New South Wales #Sydney #Queensland #Australia #bencana alam #cuaca buruk #hujan lebat
;