Banjir: Penduduk New South Wales diarah berpindah

Astro Awani
Julai 3, 2022 06:00 MYT
Anggota kecemasan menyelamatkan dua ekor kuda yang terkandas akibat banjir di Milperra, Sydney, 3 Julai 2022. - Foto REUTERS
PENDUDUK New South Wales, Australia, diarah berpindah pada Ahad setelah paras air meningkat disebabkan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan banjir di wilayah itu.
Jabatan Kecemasan Negeri mengeluarkan lebih 35 arahan berpindah sejak Sabtu.
Memetik laporan agensi, anggota keselamatan turut menyelamatkan seorang wanita yang berdepan situasi cemas di Sydney, selepas terpaksa bertahan di atas pokok selama lebih satu jam.
Ia susulan keadaan banjir di kawasannya semakin memburuk.
"Jika anda terselamat pada tahun lepas, jangan anggap anda akan selamat juga malam ini.
"Keadaan semakin memburuk dengan cepat, kita mungkin menyaksikan banjir berlaku di kawasan yang tidak pernah mengalaminya sebelum ini," kata menteri perkhidmatan kecemasan New South Wales Steph Cooke pada lewat Ahad.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran kenaikan paras air dijangka berterusan sehingga Isnin, disusuli hujan dan ribut.
#banjir #hujan lebat #paras air meningkat #New South Wales
;