Banjir Pakistan ragut lebih 1,300 nyawa, kanak-kanak golongan paling terjejas
Astro Awani
September 5, 2022 08:00 MYT
September 5, 2022 08:00 MYT
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mendedahkan negara itu sedang bergelut dengan bencana akibat perubahan iklim yang telah mengorbankan lebih 1,300 mangsa.
Jelas beliau, ketika ini kanak-kanak merupakan golongan yang paling terjejas dalam banjir terburuk pernah berlaku di negara itu.
Shehbaz melawat kawasan terjejas banjir dan kem bantuan di sekitar negara itu.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada jurutera dan anggota tentera atas usaha mereka membaiki jalan dan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
Banjir dijangka akan terus melanda selatan Pakistan apabila paras air Tasik Manchar meningkat akibat hujan monsun yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pakar meteorologi meramalkan lebih banyak hujan di wilayah itu dalam beberapa hari akan datang.
Pihak berkuasa menggesa penduduk kampung di daerah Jamshoro dan Dadu di wilayah Sindh berhampiran tasik itu untuk berpindah.
Kenaikan air mencapai paras berbahaya dan menimbulkan ancaman kepada benteng pelindung.
Tasik yang terletak di barat Sungai Indus, merupakan tasik air tawar semula jadi terbesar di Pakistan dan antara yang terbesar di Asia.