Banjir: Lamborghini derma lebih AS$1 juta kepada wilayah Emilia-Romagna di Itali

Bernama
Mei 24, 2023 19:44 MYT
Pembuat kereta itu juga mengumumkan pembatalan Acara Giro - sambutan ulang tahun ke-60 syarikat yang akan diadakan dari 24 hingga 28 Mei dari Rom ke Bologna. -Gambar hiasan/unsplash
MOSCOW: Pengeluar kereta super Itali, Lamborghini akan menderma EUR1 juta (AS$1.08 juta) untuk membantu mangsa banjir di wilayah Emilia-Romagna di negara itu, lapor Sputnik, memetik syarikat pada Selasa.
"Automobili Lamborghini menyokong kempen 'Un aiuto per l'Emilia-Romagna' melalui derma EUR1 juta Euro.
"Pihak syarikat bertindak balas terhadap peristiwa dahsyat di wilayah itu dengan menyertai 'Un aiuto per l'Emilia-Romagna,' kempen pengumpulan dana dipromosikan oleh Agensi bagi Keselamatan Wilayah dan Perlindungan Awam.
"Dana itu akan didermakan dengan penyelarasan pihak berkuasa tempatan untuk menyokong komuniti yang terjejas, dengan tumpuan khusus pada projek pemulihan alam sekitar akibat ketidakstabilan hidrogeologi," kata Lamborghini dalam satu kenyataan.
Pembuat kereta itu juga mengumumkan pembatalan Acara Giro - sambutan ulang tahun ke-60 syarikat yang akan diadakan dari 24 hingga 28 Mei dari Rom ke Bologna.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lamborghini Stephan Winkelmann berkata: "syarikat itu "sentiasa prihatin dan sensitif terhadap wilayah di mana kami beroperasi dan melalui isyarat konkrit ini kami menyatakan solidariti dan keakraban kami dengan komuniti yang terjejas oleh kecemasan alam sekitar itu."
Minggu lalu, satu lagi pengeluar kereta super Itali, Ferrari turut mengumumkan sumbangan EUR1 juta dalam bentuk bantuan kepada mangsa banjir di wilayah itu.
Formula 1 juga telah mengumumkan sumbangan EUR1 juta kepada Agensi Keselamatan Wilayah dan Perlindungan Awam Wilayah Emilia-Romagna untuk membantu komuniti yang terjejas akibat banjir selain membatalkan Grand Prix Emilia-Romagna di Litar Imola yang dijadual pada 20 hingga 21 Mei.
Hujan lebat melanda Emilia-Romagna lebih seminggu lalu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh di lebih 30 bandar dan kampung.
Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam bencana alam itu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, 43 penempatan masih dinaiki air manakala kira-kira 23,000 orang masih berada di pusat pemindahan.
Pada Selasa, Majlis Menteri Itali meluluskan pakej bantuan bernilai lebih EUR2 bilion untuk membantu mangsa banjir.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Lamborghini #pusat pemindahan #Acara Giro batal #Emilia-Romagna
;