Banjir: Ketua Junta Myanmar tagih bantuan asing
Astro Awani
September 15, 2024 08:00 MYT
September 15, 2024 08:00 MYT
NAYPYITAW: Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing menagih bantuan asing bagi menangani banjir yang mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Beliau mengarahkan pegawai kerajaan untuk menghubungi negara asing bagi mendapatkan bantuan penyelamatan dan disalurkan kepada mangsa.
Sebelum ini, tentera Myanmar menyekat bantuan kemanusiaan dari luar negara.
Tahun lalu, pihaknya menggantung kebenaran perjalanan bagi kumpulan bantuan yang cuba membantu sejuta mangsa Taufan Mocha yang melanda barat negara itu.
Taufan Yagi yang melanda Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand mengorbankan hampir 300 orang menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
Di Myanmar, lebih 235,000 orang terpaksa berpindah akibat banjir yang menambah kesengsaraan penduduk kerana negara itu masih dilanda perang sejak tentera merampas kuasa pada 2021.
Di Taungoo, kira-kira sejam dari selatan ibu negara Naypyitaw, penduduk mengayuh rakit untuk meredah banjir.
Seorang petani, Naung Tun berkata, dia terpaksa membawa tiga lembu miliknya ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Taungoo selepas banjir melanda kampungnya.
Namun Naung Tun akui tidak begitu kisah dengan kerugian barang-barang lain tetapi terkilan jika berlaku kehilangan nyawa manusia dan haiwan.