Banjir Kentucky: 25 dilapor maut, angka korban dijangka terus meningkat

Agensi
Julai 30, 2022 00:18 MYT
Lebih 23,000 penduduk di negeri itu kini terputus bekalan elektrik dan bekalan air bersih. - Office of Governor Andy Beshear/Handout via REUTERS
KENTUCKY: Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam banjir yang melanda timur Kentucky, Amerika Syarikat (AS), setakat awal Sabtu.
Gabenor Andy Beshear berkata angka kematian itu berkemungkinan terus meningkat apabila usaha mencari dan menyelamat diteruskan beberapa hari lagi apabila pasukan penyelamat memasuki kawasan yang tidak boleh dilalui sebelum ini.
Katanya, enam kanak-kanak adalah antara yang maut dalam banjir berkenaan termasuk empat adik-beradik, yang dihanyutkan arus deras.
"Kerja menyelamat memang sukar, tetapi lebih sukar untuk keluarga dan masyarakat di sini.
"Teruskan berdoa, masih ramai di luar sana, masih ramai yang belum ditemui. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencari mereka," katanya.
Pada Jumaat, Presiden Joe Biden mengeluarkan pengisytiharan bencana besar di negeri itu dan mengarahkan bantuan persekutuan dihantar ke kawasan yang terjejas oleh ribut, banjir dan tanah runtuh.
Khamis lalu, pihak berkuasa negeri mengarahkan penduduk kawasan Tasik Panbowl di Breathitt County berpindah, susulan kebimbangan empangan berdekatan akan pecah.
Hujan lebat dijangka berterusan pada hujung minggu ini.
Lebih 23,000 penduduk di negeri ini kini terputus bekalan elektrik dan bekalan air bersih.
Buat masa ini, seramai 3 juta penduduk berada di bawah amaran berjaga-jaga di Kentucky, West Virginia, timur laut Tennessee dan beberapa daerah di selatan Ohio.
#Kentucky #Amerika Syarikat #banjir besar #angka korban terkini
;